comscore
Tumpuan :
Nasional

Pelancong Korea ditemui mati di bilik mandi resort

KOTA KINABALU: Seorang lelaki warga Korea ditemui mati di dalam bilik mandi di sebuah resort di Pulau Gaya, di sini, pagi tadi.

Mangsa berusia 53 tahun ditemukan tidak sedarkan diri di pancuran air bilik mandi, kira-kira jam 7 pagi.

Difahamkan, mangsa bersama keluarganya mendaftar masuk di resort berkenaan pada semalam.

Pemangku Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu, Superintendan Kalsom Idris berkata, kejadian disedari seorang pekerja di resort berkenaan apabila mendengar jeritan dari ahli keluarga mangsa selepas melihat keadaan mangsa yang tidak sedarkan diri.

“Siasatan mendapati, mangsa mengambil dua bilik masing-masing didiami anak-anaknya di bilik atas manakala mangsa dan isteri tinggal di bilik berlainan.

“Isteri mangsa memberitahu sebelum kejadian, dia dan suaminya bergaduh dan mengambil keputusan tidur di bilik anak mereka manakala mangsa tidur seorang diri di bilik mereka,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Kalsom berkata, pada jam 7 pagi, isteri mangsa meminta anak sulungnya untuk kejutkan ayah mereka untuk bersarapan.

Bagaimanapun katanya, anak mereka terkejut apabila melihat ayahnya berada dalam keadaan tidak sedarkan diri di bilik mandi.

“Mayat mangsa sudah dihantar ke Hospital Queen Elizabeth (HQE1) untuk dibedah siasat bagi mengetahui punca sebenar kematian mangsa,” katanya.

Sementara itu, beliau berkata, polis memohon kerjasama orang ramai untuk menyalurkan maklumat berkenaan kejadian kepada pihak bagi memudahkan siasatan lanjut dijalankan.

“Sebarang maklumat, boleh berhubung dengan pegawai penyiasat Asisten Superintendan Polis Riduan Abdollah di talian 0113-3695884,” katanya.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini