comscore
Tumpuan :
Nasional

Pelantikan Farrah Naz Bagi Penuhi Keperluan Semasa NST

KUALA LUMPUR: Sebarang pandangan yang mendakwa pelantikan Farrah Naz Karim sebagai Pengarang Kumpulan New Straits Times (NST) yang baharu disebabkan campur tangan politik adalah sesuatu yang tidak wajar dan tidak berasas sama sekali.

Pengerusi Kumpulan Media Prima Berhad (Media Prima), Datuk Seri Dr Syed Hussian Aljunid menegaskan, Media Prima tidak dimiliki dan tidak melapor kepada mana-mana parti politik, sama ada seperti yang didakwa dalam beberapa laporan berita sebelum ini atau sebaliknya.

“Saya ingin menafikan secara mutlak sebarang pandangan, sama ada kerajaan atau mana-mana parti politik terbabit dalam perkara ini atau sebarang keputusan lain yang diambil Media Prima berkaitan dengannya,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Semalam, The New Straits Times Press Berhad (NSTP), anak syarikat Media Prima, mengumumkan pelantikan Farrah Naz sebagai Pengarang Kumpulan NST yang baharu, berkuat kuasa hari ini.

NSTP memaklumkan, pelantikan itu adalah selaras dengan strategi NSTP untuk mempertingkat lagi penawaran kandungannya.

Bagaimanapun, timbul kritikan oleh segelintir pihak berhubung pelantikan beliau, dengan mendakwa ia dibuat atas campur tangan politik.

Syed Hussian berkata, ketika trend pengguna, kemajuan teknologi dan keupayaan digital baharu sering berubah, Media Prima perlu sentiasa merombak strateginya, dengan membuang amalan lama, mengambil langkah baharu yang radikal dan menyesuaikan diri dengan situasi sedia ada, bagi memenuhi keperluan semasa serta masa depan.Sebagai sebuah organisasi berita, hala tuju editorial dan usaha sinergi untuk meningkatkan kualiti produk akhir adalah perkara yang sentiasa memerlukan semakan oleh pengurusan di bawah penyeliaan lembaga pengarah syarikat.

Beliau berkata, semakan itu bertujuan meningkatkan keberadaan NST yang kini mencecah usia 177 tahun dan pembacanya, dengan jangkaan ia akan menjadi pemangkin untuk pertumbuhan dan keuntungan yang mampan.

“Pertukaran kakitangan, terutama di peringkat akhir eksekutif piramid bakat kami adalah bahagian yang tidak dapat dielakkan dalam semakan ini.

Pelantikan ini sentiasa dilakukan semata-mata berdasarkan merit.”Atas dasar itulah, pihak pengurusan melantik Farrah Naz sebagai Pengarang Kumpulan baharu NST.

“Farrah mempunyai pengalaman lebih 20 tahun dalam operasi bilik berita.

Beliau baru-baru ini memecahkan monopoli 35 tahun yang dipegang akhbar harian berbahasa Melayu dalam memenangi Anugerah Kajai yang berprestij, menjadi wartawan pertama dari akhbar Inggeris yang mencapai kejayaan itu.

“Tugasnya bersama TV3 juga dijangka merapatkan jurang cetak dan digital, yang menjadi strategi utama dalam langkah NST untuk memasuki era media baharu yang mengujakan ini,” katanya.

Selain itu, Syed Hussian, berkata pemegang saham besar dalam Media Prima, Datuk Seri Johari Abdul Ghani mempunyai rekod prestasi yang luar biasa dalam memulihkan perniagaan yang berdepan kesukaran.

Katanya, hasil usaha ahli perniagaan itu, konglomerat media itu mencatatkan keuntungan selama lapan suku tahun berturut-turut, satu pencapaian yang mengejutkan selepas berdepan keadaan kewangan syarikat yang teruk, hampir tiga tahun lalu.

Syed Hussian berkata, ketika ini, tiga penerbitan utama Media Prima iaitu NST, Berita Harian dan Harian Metro memberi tumpuan untuk meningkatkan platform digital masing-masing bagi melengkapkan edaran cetakan semasa akhbar mereka.

“Harian Metro dan Berita Harian sudah pun menjadi dua saluran berita digital terkemuka di negara ini. Media Prima komited untuk membawa NST setanding dengan akhbar itu dalam hal ini.

“Kami di Media Prima berharap, rombakan editorial dan pengembangan digital ini akan membolehkan kami menyampaikan produk media yang lebih menarik untuk kegunaan orang ramai,” katanya. -HARIAN METRO

Loading...
Terkini