comscore
Tumpuan :
Nasional

Pelarasan tarif air domestik bantu tambah baik sistem bekalan air

Foto hiasan

KUALA LUMPUR: Pelaksanaan pelarasan kadar tarif air bagi kategori domestik sejak 1 Februari lalu penting bagi menambah baik dan meningkatkan sistem bekalan air negara.

Penasihat ASIAWATER 2024 dan bekas Ketua Pegawai Eksekutif Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN) Datuk Teo Yen Hua berkata, hasil yang diperoleh daripada tarif baharu air itu, bermanfaat untuk membaiki dan menggantikan paip lama sedia ada yang tidak lagi efisien dalam sistem bekalan air sekali gus mengurangkan jumlah pelepasan air tidak terhasil (NRW).

“Untuk menangani perkara itu ia memerlukan banyak wang, dengan NRW bagi Semenanjung kira-kira 34 peratus malah di sesetengah negeri ia mencecah hingga 50 peratus.

“Jika kita tidak mengambil kesempatan untuk menukar paip ini, kebocoran akan menjadi lebih buruk apabila paip bertambah usang dan tidak dapat dibaiki lagi, kita tidak mampu menampung air dan akan berlaku lebih banyak gangguan,” katanya semasa temu bual dalam program terbitan Bernama TV malam tadi.

 

Foto hiasan

Beliau berkata, 30 peratus paip yang digunakan dalam sistem bekalan air negara adalah paip simen asbestos yang mahal dan mengambil masa lebih lama untuk dibaiki.

Teo turut menjelaskan bahawa hasil yang diperoleh memainkan peranan penting dalam memodenkan ekosistem bekalan air.

“Loji rawatan air menggunakan banyak tenaga iaitu jika ia dilihat pada perbelanjaan operasi seperti bil elektrik, gaji petugas dan bahan kimia.

“Di kebanyakan negara membangun, mereka sentiasa menganggap air sebagai sesuatu yang sepatutnya percuma, hakikatnya tidak ada istilah air percuma kerana kita perlu membersihkan, merawat dan mengepam air, semua ini memerlukan wang,” katanya.

Mengenai penambahbaikan Loji Rawatan Kumbahan (STP) di negara ini, Teo berkata Akta Industri Perkhidmatan Air 2006, perlu dipinda bagi membolehkan projek seperti air tebus guna dilaksanakan.

“Rawatan kumbahan kita jika dibandingkan dengan negara membangun lain, sebenarnya kita jauh lebih maju dan kita mempunyai banyak STP, dan lebih beruntung jika kita merawatnya lagi ia boleh digunakan sebagai air ‘non-drinking’, kita boleh panggilnya sebagai ‘non-portable purposes’,” katanya.

Berbincang lanjut mengenai kekurangan air, Teo berkata Malaysia memperoleh jumlah hujan yang mencukupi setiap tahun, jadi penting untuk negara memfokus kepada pengembangan kapasiti loji rawatan air bagi menyimpan lebih banyak air.

“Secara keseluruhan di Malaysia, purata hujan ialah kira-kira 3,000 milimeter setahun dan ia lebih kepada bagaimana kita menguruskan bekalan.

“Kita tidak boleh menunggu hingga kita menggunakan semua kapasiti itu barulah kita mencari dan membina loji rawatan baharu. Perkara yang dilakukan oleh negara maju lain ialah sentiasa merancang ke hadapan kerana ada ketika kita menerima hujan yang banyak dan ada ketika tidak,” katanya.

Beliau menambah rakyat Malaysia juga perlu memberi perhatian kepada jumlah pembaziran air yang mereka sumbangkan kerana secara purata bagi isi rumah di negara ini, seorang menggunakan 237 liter air sehari berbanding 125 liter air sehari bagi seorang di Singapura.

Foto hiasan

Teo turut menegaskan bahawa membuang sampah ke sungai juga memberi kesan negatif yang besar kepada sistem bekalan air negara.

“Sebanyak 81 peratus bekalan air yang anda dan saya terima daripada sistem bekalan air sebenarnya dari sungai dan apabila ada orang yang tidak bertanggungjawab pergi dan membuang minyak enjin terpakai ke dalam sungai, loji rawatan air terpaksa dihentikan untuk dibersihkan,” katanya.

Mengenai ekspo ASIAWATER 2024 yang diadakan di Pusat Pameran Kuala Lumpur dari 7 hingga 9 April lepas, beliau berkata ekspo tersebut mendapat sambutan baik dengan lebih 1,000 syarikat dari 61 negara mengambil bahagian dalam sesi perkongsian ilmu mengenai sistem bekalan air.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini