comscore
Tumpuan :
Nasional

Pelarasan tarif air: Lesen syarikat operator ditarik jika gagal capai KPI

Oleh: Wan Zairul Azri Wan Mohammad Sudin

PUTRAJAYA: Pelarasan kadar tarif air di Semenanjung dan Labuan mulai bulan depan yang menyaksikan penambahan pendapatan syarikat operator di bawah kawal selia Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN) bukan ‘tiket’ untuk mereka melakukan kerja menaik taraf infrastruktur yang tidak sepatutnya.

Sebaliknya, Timbalan Menteri Peralihan Tenaga dan Daya Guna Awam, Akmal Nasrullah Mohd Nasir berkata, peningkatan pendapatan itu sebagai komitmen syarikat berkaitan bagi meningkatkan mutu perkhidmatan dan menyelesaikan masalah utama bekalan di negeri berkenaan.

Justeru ujarnya syarikat operator yang tidak mencapai Petunjuk Prestasi Utama (KPI) susulan pelarasan kadar tarif air, boleh dikenakan tindakan tegas.

Ia termasuk menarik balik lesen operasi syarikat berkenaan seperti mana termaktub mengikut Akta Industri Perkhidmatan Air 2006 (Akta 655).

“Menteri (Menteri Peralihan Tenaga dan Daya Guna Awam, Datuk Seri Fadillah Yusof) ada memaklumkan untuk kita audit dan lihat teliti projek yang dirancang atau yang akan dilaksanakan, cuma kita tahu juga cabaran dihadapi sesetengah negeri itu adalah perkara yang selama ini seolah-olah masih belum dapat jalan penyelesaian.

“Contohnya, di Kelantan, memang kita tahu ada masalah yang agak ketara dari segi mutu air. Bagaimana kita nak pastikan projek itu berjalan, paling kurang kita kena lihat tujuan mereka melakukan penambahbaikan dari segi infra menjurus ke arah tersebut.

“Kalau di Kedah, kita tahu masalah utamanya adalah tidak ada rizab margin air terawat pada tahap kosong peratus. Dari segi perancangan mereka, kawal selia di peringkat SPAN adalah memastikan perancangan itu menjurus ke arah tersebut. Ini sangat penting sebab kita tidak mahu berlaku sekiranya syarikat operator menggunakan (pendapatan) untuk tujuan lain seperti ‘upgrading’ (naik taraf) yang bukan-bukan,” katanya.

Beliau ditemui pada Sesi Bersama Editor Media berhubung Pelarasan Tarif Demi Meningkatkan Tahap Perkhidmatan Bekalan Air, di sini semalam, yang turut dihadiri Pengerusi SPAN, Charles Anthony Santiago dan Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) SPAN, Datuk Ahmad Faizal Abdul Rahman.

SPAN hari ini memaklumkan pelarasan tarif air bagi pengguna domestik di Semenanjung dan Labuan berkuat kuasa pada 1 Februari depan yang menyaksikan kenaikan purata sebanyak 22 sen bagi setiap meter padu.

Menerusi pelarasan kadar tarif, Syarikat Air Darul Aman (SADA) sebagai operator perkhidmatan bekalan air di Kedah dijangka menerima tambahan pendapatan sebanyak RM30 juta setahun.

Sejumlah tiga projek perancangan pembangunan infrastruktur dikemukakan bagi menyelesaikan isu kecukupan bekalan air antaranya pembinaan loji rawatan air (LRA) Sidam Fasa 1 dan LRA Sungai Karangan Fasa 1 masing-masing dijangka siap pada 2029.

Sementara itu, dengan jangkaan pendapatan RM11.06 juta setahun hasil pelarasan kadar tarif air, Air Kelantan Sdn Bhd (AKSB) menyatakan komitmen untuk meningkatkan tahap perkhidmatan menerusi lima projek perancangan.

Ia meliputi pembinaan LRA Tok Bali Fasa 1 dan LRA Merbau Chondong II yang dijangka siap pada 2027, serta penggantian paip bagi mengurangkan kadar air tidak berhasil (NRW) di negeri berkenaan.

Mengulas lanjut, Akmal berkata, kenaikan kadar tarif air tidak dilakukan sesuka hati, tetapi berdasarkan permohonan Kerajaan Negeri.

“Peranan SPAN dan kementerian yang kita tumpukan dalam tempoh dua, tiga tahun ini untuk membuktikan bahawa bila berlaku pelarasan tarif, ada peningkatan dari segi khidmat yang diberikan.

“Untuk peringkat kementerian, kami memang meneliti perkara ini. Kita tahu bila berlaku pelarasan (tarif), jika tidak diurus dengan baik, ia jadi isu lain. Isunya (pelarasan) tarif air boleh jadi isu politik. Isunya untuk (pelarasan) tarif air untuk kegunaan operator boleh jadi isu yang mungkin di luar hasrat kita, akan berlaku ‘unintended discussion’ (perbincangan yang tidak disengajakan) dan sebagainya,” katanya.

Pada masa sama, menurut Akmal, lapan syarikat operator turut bersetuju untuk membantu golongan B40 supaya tidak terkesan ekoran pelarasan kadar tarif berkenaan seperti pemberian rebat.

“Ada negeri yang sememangnya mengguna pakai senarai data sedia ada sebagai contoh e-Kasih untuk golongan B40. Namun untuk jangka panjang apabila sistem PADU (Pangkalan Data Utama) telah pun siap dan dari segi keputusan ketetapan kerajaan untuk bantuan secara bersasar, saya pasti di peringkat kementerian melalui SPAN, kita akan minta mereka selaraskan supaya kumpulan itu dan segala manfaat akan sampai kepada mereka,” katanya.

PADU dilancarkan pada 2 Januari lalu bertujuan menjadi sumber primer kerajaan dalam pengagihan subsidi dan penyaluran bantuan secara bersasar.

Loading...
Terkini