Tumpuan :
Nasional

Pelatih junior UPNM dakwa dipijak: Mindef serah sepenuhnya pada polis

KUALA LUMPUR: Kementerian Pertahanan menyerahkan pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM) untuk menyempurnakan siasatan berhubung kes pelatih Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM) yang cedera dipercayai dipijak senior.

Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, beliau sudah dimaklumkan berkenaan laporan media yang tular membabitkan seorang pelatih di UPNM yang mengalami kecederaan dipercayai tindakan seorang pelatih senior.

Menurutnya, susulan laporan polis yang dibuat, Kementerian Pertahanan menyerahkan perkara ini kepada pihak PDRM untuk menyempurnakan siasatan.

“Kementerian Pertahanan berpendirian kejadian sebegini adalah tidak wajar dan merosakkan imej UPNM dan institusi pendidikan tinggi.

“Justeru, pihak saya dan Kementerian Pertahanan akan memberi sepenuh kerjasama dan perhatian dalam perkara ini,” katanya dalam kenyataan malam ini.

Terdahulu seorang penuntut tahun satu Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM), Kem Sungai Besi, mengalami keretakan tulang rusuk dan tulang belakang dipercayai dipijak penuntut seniornya.

Kejadian itu berlaku pada 21 Oktober lalu, sehari sebelum seorang lagi penuntut universiti sama yang melecur di badan akibat ditekap dengan seterika oleh penuntut senior.

Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Rusdi Mohd Isa berkata, polis mengesahkan menerima laporan berhubung kejadian itu pada jam 8.40 malam kelmarin.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

| ARTIKEL BERKAITAN

Loading...
Terkini