
KUALA LUMPUR: Program Keretapi Sarong terus mendapat sambutan saban tahun dan tahun ini juga tidak terkecuali apabila lebih 10,000 peserta pelbagai kaum dan tanpa mengira usia menyertainya.
Keretapi Sarong ini dianjurkan dengan tujuan untuk menyemai semangat cintakan negara meskipun dalam kepelbagaian, sempena Hari Malaysia yang disambut hari ini.
Peserta program hari ini rata-rata begitu bangga mengenakan pakaian tradisional lengkap dengan perhiasan pelbagai etnik seterusnya mempromosi kain sarung sama ada batik atau pelikat yang menjadi simbol kebudayaan serta warisan di Malaysia.
Bagaikan mengimbau kenangan lama, Keretapi Sarong 2023 (KS2023) yang membawakan tema ‘Etnik dan Perpaduan’ turut dimeriahkan dengan persembahan busana sarung, persembahan ‘flash mob’, tarian joget lambak serta alunan runut awal 60 hingga 70an.

Pengarah program KS2023, Shamsul Bahrin Zainuzzaman berkata, program itu mencapai objektif utamanya iaitu melihat rakyat Malaysia berbusana etnik dengan menaiki pengangkutan awam sambil mempromosi kain sarung.
“Saya sendiri turut memakai pakaian tradisi kaum Bidayuh sebagai tanda sokongan kepada program ini dan kita juga melihat ramai kawan-kawan lain daripada pelbagai kaum menyertai KS2023,” katanya.
Program Keretapi Sarong dimulakan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) Random Alphabet pada 2012, sebelum diambil alih LOCCO pada 2017, dengan membabitkan ribuan peserta menaiki pengangkutan awam sambil memakai kain sarung sama ada batik atau pelikat sebagai seragam utama.
Program Keretapi Sarong terus mendapat sambutan saban tahun dan tahun ini juga tidak terkecuali apabila lebih 10,000 peserta pelbagai kaum dan tanpa mengira usia menyertainya.
Keretapi Sarong ini dianjurkan dengan tujuan untuk menyemai semangat cintakan negara meskipun dalam… pic.twitter.com/K2r82193WV
— Buletin TV3 (@BuletinTV3) September 16, 2023
Tahun ini, program KS2023 dimulakan serentak dari tujuh stesen iaitu Transit Aliran Ringan (LRT) KL Sentral, Gombak, Ampang dan Subang Jaya, selain Transit Aliran Massa (MRT) Kajang, Bandar Utama dan KLIA Transit sebelum bergerak dan berkumpul di Dataran Merdeka.
Acara sama turut berlangsung serentak di bandar utama seperti Johor Bahru (sepanjang Sungai Segget), Ipoh (KTMB Ipoh) dan Kuala Terengganu (Kampung Budaya Terengganu), serta di London, United Kingdom (Battersea Power Station).
Memeriahkan suasana, pelbagai nyanyian lagu patriotik dan tradisional turut dimainkan antaranya ‘Negaraku’, ‘Jalur Gemilang’, ‘Gemuruh’, ‘Standing In The Eyes Of The World’, Rasa Sayang’, ‘Dikir Puteri’, Enjit Enjit Semut’, ‘Lemak Manis’, ‘Can Mali Can’ dan ‘Anak Tupai’.