comscore
Tumpuan :
Nasional

Pelbagai inisiatif dilaksanakan bagi hadapi cabaran global

Datuk Seri Ismail Sabri (dua dari kiri) ketika menyempurnakan Majlis Pelancaran Malaysia Digital dan Sambutan Jubli Perak Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia (MDEC)

KUALA LUMPUR: Pelbagai inisiatif dan usaha terus dilaksanakan kerajaan untuk menjamin pertumbuhan ekonomi dan kesejahteraan rakyat negara ini.

Langkah proaktif dilakukan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dengan memperkenalkan bermacam inisiatif dan program juga menyokong lagi pembangunan ekonomi dalam mendepani cabaran global.

Timbalan Naib Canselor ICats University College Kuching, Profesor Datuk Dr Shazali Abu Mansor berkata, pendekatan responsif dan bertanggungjawab dalam memulihkan ekonomi negara selepas pandemik COVID-19 menjadi penunjuk utama kejayaan Perdana Menteri.

Katanya, falsafah yang dibawa bersama dalam Keluarga Malaysia terbukti bukan hanya memfokus kepada ekonomi malah merangkumi semua aspek termasuk berkongsi kekayaan negara bersama semua lapisan rakyat tanpa mengira bangsa dan agama.

“Keputusan kerajaan membuka semula semua sektor ekonomi dan sempadan negara turut memulihkan keyakinan pelabur terhadap Malaysia serta membuka peluang pekerjaan.

“Kadar pengangguran yang lebih rendah juga dicatatkan iaitu 3.7 peratus pada suku ketiga 2022 berbanding 3.9 peratus pada suku sebelumnya.

“Perdana Menteri berani mengambil langkah drastik memperkenalkan inisiatif bagi membantu Keluarga Malaysia dan perusahaan kecil dan sederhana (PKS) untuk pulih kembali.

“Ini termasuk menerusi pengenalan Rangka Tindakan Ekonomi Digital Malaysia (MyDigital) yang mendigitalisasikan negara dan ini juga inisiatif baru yang mampu menarik minat pelabur ke dalam negara kita.

“Selain itu, satu daripada pencapaian utama Perdana Menteri adalah kejayaan melaksanakan memorandum persefahaman (MoU) antara kerajaan dan pembangkang yang secara langsung menstabilkan situasi politik negara dan membuka laluan bagi pemulihan ekonomi yang konsisten.

“Beliau juga mengambil kira pandangan daripada pihak pembangkang untuk bersama mencapai pertumbuhan serta memulihkan ekonomi dan ini menjadikan pelabur lebih yakin untuk melabur,” katanya.

Dr Shazali berkata, pertumbuhan ekonomi Malaysia semakin meningkat dan sangat memberangsangkan berbanding negara lain di rantau ini.

“Di bawah kepemimpinan Perdana Menteri juga Pasukan Khas Jihad Tangani Inflasi ditubuhkan dan berjaya mengawal harga keperluan daripada terus naik terlalu tinggi, walaupun ada beberapa barangan yang tidak boleh dielakkan kenaikan harganya, jika dibandingkan harga barangan di negara kita masih berpatutan berbanding negara lain,” katanya.

Dalam usaha menggalakkan penciptaan pekerjaan, kerajaan turut melaksanakan program JaminKerja dengan peruntukan RM4.8 bilion, yang menyasar kewujudan 600,000 peluang pekerjaan pada tahun ini.

Selain itu, pengumuman Perdana Menteri, ketika pembentangan Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK-12) memberikan petunjuk jelas bahawa kerajaan bakal memperhebatkan ekonomi digital untuk menjana ekonomi negara dan rakyat.

Mengulas mengenai inisiatif MyDigital, Profesor Madya Ts Dr Anuar Shah Bali Mahomed dari Sekolah Perniagaan dan Ekonomi Universiti Putra Malaysia (UPM) berkata, sokongan kerajaan dalam meningkatkan pelaburan berasaskan teknologi ini adalah selari dengan inisiatif yang dirangka dalam MyDigital.

Katanya, sejak diperkenalkan Februari 2021, MyDigital mula menampakkan hasil dengan kesan ketara apabila Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) meningkat 16.1 peratus tahun ke tahun pada suku kedua 2021.

Dr Anuar Shah berkata, inisiatif Malaysia Digital (dilancarkan Julai 2022) iaitu kesinambungan kepada MyDigital juga memacu lagi ekonomi digital Malaysia.

Malaysia Digital berjaya meraih nilai Pelaburan Digital Langsung Asing sebanyak RM42 bilion yang dijana melalui pelaburan sebanyak 28 syarikat asing terdiri daripada syarikat dalam sektor Pusat Data, Penyedia Perkhidmatan Teknologi Maklumat (IT), Teknologi Kandungan Kreatif dan Global Business Services (GBS).

Kejayaan ini amat penting dalam proses pemulihan ekonomi negara kerana ia akan mewujudkan peluang pekerjaan berpengetahuan tinggi, membantu merancakkan inovasi seterusnya melonjakkan lagi ekonomi digital.

“Tiga matlamat utama dalam tempoh RMK-12 berkait rapat dalam memperhebatkan penggunaan ekonomi digital antara pertumbuhan KDNK disasarkan pada kadar hingga 5.5 peratus setahun dalam tempoh 2021 hingga 2025,” katanya.

Sementara itu, Presiden Majlis Belia Malaysia (MBM), Mohd Izzat Afifi Abdul Hamid berkata, usaha pengukuhan ekonomi oleh Perdana Menteri jelas memberi impak kepada orang ramai.

“Bukti jelas impak kepada orang ramai ini ialah apabila kadar inflasi di negara kita yang boleh dikatakan terkawal jika dibandingkan dengan negara lainnya,” katanya. – HARIAN METRO

Loading...
Terkini