comscore
Tumpuan :
Nasional

`Pelbagai Insentif Bukti Warga FELDA Sangat Istimewa Kepada Kerajaan’ – Ismail Sabri

 

Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob ketika menghadiri program Himpunan Keluarga FELDA, Teguh Bersama di FELDA Mayam, Bera, hari ini.

BERA: Pelbagai insentif yang diberikan kerajaan kepada warga FELDA sejak awal penubuhan tanah rancangan itu lagi, mencerminkan betapa istimewanya warga FELDA kepada kerajaan.

Justeru, menurut Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, warga FELDA akan terus ‘dijaga’ kerajaan, termasuk generasi kedua tanah rancangan berkenaan.

‘Walaupun beberapa ketika FELDA mungkin hadapi pelbagai masalah dalaman, warga peneroka tak dilupakan begitu sahaja,” katanya pada program Himpunan Keluarga FELDA, Teguh Bersama di FELDA Mayam. hari ini.

Turut hadir, Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail dan Pengerusi FELDA, Tan Sri Idris Jusoh.

Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob

Ismail Sabri yang juga penyandang kerusi Parlimen Bera berkata, layanan kerajaan tidak terhenti setakat peneroka sahaja, malah pelbagai insentif baharu turut diumumkan bagi generasi kedua FELDA.

Beliau berkata, ini termasuk pelaksanaan Perumahan Generasi Baharu FELDA (PGBF), yang ditambah baik dengan memperkenalkan inisiatif lot generasi FELDA, dengan 8,670 unit lot dikenal pasti dan 770 unit dilaksanakan secara undian lot.

“Untuk (PGBF) Bera, saya harap disegerakan. Kalau sudah kenal pasti kawasan, panggil segera interviu kalau ada permohonan, kalau ada permohonan luluskan segera untuk generasi kedua,” katanya.

Ismail Sabri berkata, RM20 juta diperuntukkan untuk FELDA dan lebih banyak lagi diumum kerajaan menerusi Bajet 2023, untuk bantuan pinjaman perumahan kepada golongan muda, termasuk generasi kedua FELDA menerusi Skim Jaminan Kredit Perumahan.

Beliau turut meminta FELDA mengurangkan birokrasi dan menyegerakan permohonan Tabung Usahawan Belia FELDA, yang diperuntukkan dana pusingan sebanyak RM10 juta kepada generasi kedua.

Katanya, 23 permohonan diterima di peringkat wilayah dan permohonan itu seterusnya akan dibawa ke ibu pejabat untuk kelulusan.

Menyifatkan warga FELDA sebagai pengundi yang sangat setia dalam sejarah kerajaan Barisan Nasional (BN), Ismail Sabri berharap, undi warga FELDA dapat diterjemahkan dengan kemenangan BN di peringkat Pahang dan Kerajaan Persekutuan pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) akan datang.

“Saya beri jaminan, jika kita menang besar, politik kita stabil, ekonomi kita bertambah baik, yang untung tuan-tuan dan puan-puan selaku rakyat yang amat setia.

“FELDA sebenarnya fixed deposit (simpanan jaminan) kita, FELDA golongan yang sangat setia dengan kerajaan yang kita perintah dulu,” katanya.

Loading...
Terkini