comscore
Tumpuan :
Nasional

Pelepasan tunai solat Jumaat diwajibkan kepada sektor awam dan swasta di Johor

Oleh: Zahir Senapiah 

JOHOR BAHRU: Sektor awam dan swasta di Johor diwajibkan memberi pelepasan waktu yang mencukupi kepada umat Islam menunaikan solat Jumaat apabila pelaksanaan cuti hujung minggu mula dikuatkuasakan pada hari Sabtu dan Ahad, bermula tahun depan.

Perkara itu ditegaskan, Exco Hal-Ehwal Agama Islam Negeri, Mohd Fared Mohd Khaled dalam satu kenyataan.

Katanya, jadual waktu persekolahan termasuk sekolah agama juga perlu disusun semula bagi membolehkan ibu bapa mempunyai ruang waktu mencukupi bagi menguruskan anak-anak mereka pada hari Jumaat.

“Bahagian penguatkuasa Jabatan Agama Islam Negeri akan meneruskan penguatkuasaan kepada orang Islam yang sengaja meninggalkan solat Jumaat sepertimana yang termaktub dalam Seksyen 14, Enakmen Jenayah Syariah Johor 1977” tegasnya.

Mengikut seksyen berkenaan mana-mana lelaki, yang baligh, yang tidak menunaikan sembahyang Jumaat di masjid dalam kariahnya tiga kali berturut-turut tanpa uzur syar’i atau tanpa sebab yang munasabah adalah melakukan suatu kesalahan dan apabila disabitkan boleh didenda tidak melebihi RM1000 atau dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi enam bulan atau kedua-duanya.

Baru-baru ini Pemangku Sultan Johor, Tunku Mahkota Ismail mengumumkan cuti hujung minggu di Johor akan ditukar semula kepada Sabtu dan Ahad bermula 1 Januari 2025.

Pertukaran itu telah mendapat perkenan Sultan Johor, Sultan Ibrahim Iskandar.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini