Tumpuan :
Nasional

Pelesenan platform media sosial tidak jejas pengguna

Foto hiasan

KUALA LUMPUR: Penguatkuasaan kerangka pelesenan terhadap penyedia platform media sosial tidak akan menjejaskan pengguna perkhidmatan tersebut.

Kementerian Komunikasi memaklumkan, ia kerana hanya penyedia perkhidmatan sahaja diwajibkan untuk mendapatkan lesen berkaitan daripada Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC).

“Pengguna akan terus dapat menikmati pengalaman menggunakan media sosial yang lebih selamat. Kebebasan bersuara adalah hak asasi yang diiktiraf, telah termaktub di bawah Perkara 10, Perlembagaan Persekutuan, namun ia perlu disertai dengan tanggungjawab.

“Kebebasan tiada sempadan adalah kebebasan yang mengundang malapetaka. Oleh itu, tindakan ini adalah untuk memastikan keseimbangan antara kebebasan bersuara, keselamatan negara dan kesejahteraan hidup rakyat,” menurut jawapan bertulis yang disiarkan di laman sesawang Parlimen.

Jawapan itu bagi menjawab soalan Datuk Suhaimi Nasir (BN-Libaran) yang ingin tahu langkah dan jaminan daripada kementerian dalam memastikan kebebasan bersuara dan menzahirkan pendapat oleh pengguna di media sosial diteruskan tanpa dikongkong kerajaan.

Sebelum ini, keperluan pelesenan terhadap penyedia perkhidmatan pesanan Internet dan penyedia perkhidmatan media sosial telah diwartakan pada 1 Ogos dan akan berkuat kuasa pada 1 Januari 2025, iaitu penyedia perkhidmatan perlu memohon Lesen Kelas Pemberi Perkhidmatan Aplikasi (ASP(C) di bawah Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 (Akta 588).

Menurut Kementerian Komunikasi, keperluan pelesenan di bawah Akta 588 adalah untuk memastikan penyedia perkhidmatan bertanggungjawab mewujudkan ekosistem dalam talian yang lebih selamat kepada pengguna platform mereka.

Kementerian itu memaklumkan ia termasuk menangani secara efektif kandungan mudarat dengan memperkukuhkan sistem dan proses untuk mengurangkan jenayah siber termasuk penipuan dalam talian, jenayah seksual dan buli siber.

“Di bawah Akta 588, terdapat langkah-langkah perlindungan yang kukuh untuk mengimbangi keperluan kawal selia dan perlindungan kepada hak kebebasan bersuara serta kebebasan maklumat.

“Pelaksanaan kerangka pelesenan di bawah Akta 588 ini adalah bertujuan menangani isu-isu jenayah dalam talian tanpa menyekat inovasi dan pembangunan,” menurut jawapan itu.

Menurut Kementerian Komunikasi, kerajaan tidak akan menapis Internet seperti dijelaskan di bawah Rang Jaminan MSC Malaysia No 7, namun ia tidak bermakna bahawa kandungan yang melanggar undang-undang boleh disebarkan dengan sewenang-wenangnya tanpa mengambil kira peruntukan perundangan.

Sementara itu dalam jawapan berasingan, kementerian memaklumkan MCMC sedang merangka solusi penyediaan perkhidmatan Internet bagi baki tiga peratus di kawasan berpenduduk melalui Pelan Jalinan Digital Negara (Jendela) Fasa 2.

Menurut kementerian, perancangan Jendela Fasa 2 itu memerlukan penilaian dan pertimbangan kaedah pemberian perkhidmatan yang sesuai serta keupayaan Dana Pemberian Perkhidmatan Sejagat untuk membiayai perbelanjaan modal dan perbelanjaan operasi projek itu.

“Senarai lokasi awal bagi penyediaan perkhidmatan Internet buat masa ini sedang dikenal pasti. Antara penyelesaian pemberian perkhidmatan yang akan dipertimbangkan pada peringkat perancangan ini adalah melibatkan pembinaan menara baharu dan penyediaan jalur lebar menggunakan teknologi satelit.

“MCMC juga sedang meneliti perkembangan teknologi baharu termasuk terus ke peranti yang menggunakan teknologi satelit orbit rendah bumi (LEO) bagi penyediaan perkhidmatan Internet yang boleh memberi manfaat kepada penduduk di luar bandar dan kawasan pedalaman,” menurut jawapan itu.-BERNAMA

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini