Tumpuan :
Nasional

Pemain gitar Spider, Napie meninggal dunia

Allahyarham Napie yang juga jurutera bunyi di Studio Luncai Emas milik M Nasir, dilapor diserang angin ahmar pada 16 Julai lalu.

KUALA LUMPUR: Pemain gitar kumpulan Spider, Napie atau nama sebenar, Hanafi Hamdan, 51, meninggal dunia di Hospital Sungai Buloh, kira-kira jam 3 pagi, hari ini.

Napie yang juga jurutera bunyi di Studio Luncai Emas milik maestro muzik, Datuk M Nasir dilapor diserang angin ahmar pada 16 Julai lalu.

Jenazah Allahyarham Napie dibawa ke Masjid Cahaya Iman, Bandar Country Homes, Rawang, untuk diuruskan pada jam 9 pagi ini.

Jenazah dijangka dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Bandar Country Homes selepas solat Jumaat.

Media sebelum ini melaporkan Napie dikejarkan ke hospital selepas mengalami serangan angin ahmar di studio Luncai Emas pada 16 Julai lalu.

Vokalis Spider, Tam, dilapor berkata, sahabatnya itu berada dalam keadaan sangat lemah selepas menjalani pembedahan otak pada 27 Julai lalu.

Pada 30 Jun 2021, Spider kehilangan bekas pemain bes mereka iaitu Tony Iskandar yang ditemukan meninggal dunia di sebuah studio rakaman di Kuala Lumpur.

Napie bersama Spider sejak awal penubuhan kumpulan rock itu di Johor Bahru, Johor pada 1996 sebelum dia bersama anggota kumpulan asal iaitu iaitu Zul, Tam, Tony dan Yem berhijrah ke Kuala Lumpur dua tahun kemudian.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini