comscore
Tumpuan :
Nasional

Pemaju Perlu Sedia Pelan Tebatan Banjir Sebagai Syarat Baharu

FOTO: NSTP

JOHOR BAHRU: Majlis Bandaraya Johor Bahru (MBJB) mewajibkan pemaju menyiapkan pelan tebatan banjir termasuk membina kolam tadahan sebelum meluluskan Kebenaran Merancang mulai tahun depan.

Datuk Bandar Johor Bahru, Datuk Mohd Noorazam Osman berkata, syarat baharu itu bagi mengatasi isu banjir kilat yang semakin kerap melanda pusat bandar raya dan menjejaskan penempatan penduduk.

Katanya, pemaju juga diwajibkan melakukan penanaman pokok terlebih dahulu sebelum projek dimulakan bagi mengelakkan tanah dibangunkan menjadi gondol sekali gus meningkatkan risiko banjir kilat apabila hujan lebat.

“MBJB melihat kembali prosedur serta kaedah rancangan pembangunan di bandar raya ini termasuk mengetatkan syarat sebelum meluluskan Kebenaran Merancang.

“Bermula tahun depan, semua permohonan rancangan pembangunan yang dihantar perlu mematuhi syarat ketat.

“Kita tahu pemaju tidak akan suka dengan syarat baharu ini, namun MBJB tiada pilihan kerana pusat bandar raya sudah kerap kali dilanda banjir kilat berikutan saliran parit dipenuhi tanah menyebabkan air hujan tidak dapat mengalir sehingga menenggelamkan kawasan penempatan dan jalan raya,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Mesyuarat Penuh MBJB di sini, hari ini.

Hujan lebat lebih lima jam yang berlaku pada Ahad lalu menyebabkan beberapa lokasi di sekitar bandar raya ini termasuk pusat bandar dinaiki banjir kilat.

Dalam pada itu, Mohd Noorazam berkata, MBJB bercadang melaksanakan syarat baharu Kebenaran Merancang itu mulai Januari depan.

Katanya, MBJB kini sedang giat melakukan kajian terperinci termasuk kajian berkumpulan selain melantik konsultan untuk menyegerakan dapatan bagi melaksanakan syarat baharu berkenaan.

“Kajian berkumpulan akan membabitkan persatuan surveyor, persatuan pemaju, persatuan arkitek selain MBJB sendiri bagi mencari kaedah terbaik melakukan pembaharuan syarat Kaedah Merancang yang lebih mesra alam.

“MBJB mahu pemaju lebih bertanggungjawab dan melaksanakan pelan tebatan banjir yang disyaratkan dahulu atau kita tidak akan luluskan projek pembangunan dirancang.

“Cara pembangunan kena diubah kerana sebelum ini kebanyakan pemaju akan mengabaikan pelan tebatan banjir termasuk pembinaan kolam tadahan dan penanaman pokok yang akan dilakukan apabila projek selesai,” katanya. – HARIAN METRO

Loading...
Terkini