comscore
Tumpuan :
Nasional

Pemancing jatuh laut ditemui maut

Foto hiasan

PELABUHAN KLANG: Seorang pemancing yang dilaporkan terjatuh ke laut selepas sampan yang dinaiki bersama seorang rakan dirempuh bot pukat tunda di Perairan Sementa, Kapar di sini ditemui maut, petang tadi.

Pengarah Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Selangor Kepten Maritim V Siva Kumar berkata, mayat Raiman Suyud, 54 ditemui terapung oleh nelayan sekitar perairan Kapar kira-kira jam 2.30 petang.

Beliau berkata, bot PERKASA 36 bersama bot agensi ke lokasi sejurus menerima maklumat mengenai penemuan mayat lelaki dalam keadaan terapung.

“Mayat itu dibawa ke Jeti Pangkalan Nelayan Sementa bagi proses pengecaman oleh ahli keluarga sebelum diserahkan kepada pihak polis untuk dibawa ke Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR), Klang bagi tindakan lanjut.

“Pengecaman awal oleh keluarga mangsa mengesahkan mayat itu adalah Raiman Suyud, 54, yang dilaporkan jatuh laut di pesisir pantai di Perairan Sementa semalam,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata, Operasi CARILAMAT ditamatkan pada jam 5 petang dan Pos Hadapan CARILAMAT (PHC) di jeti Pangkalan Nelayan Sementa, Kapar juga ditutup.

Katanya, Operasi CARILAMAT yang diselaraskan oleh Maritim Malaysia pada hari kedua dengan menggunakan empat bot terdiri daripada Maritim Malaysia, Pasukan Polis Marin (PPM), Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), Angkatan Pertahanan Awam Malaysia(APM) dan turut dibantu oleh komuniti nelayan tempatan.

“Maritim Malaysia merakamkan penghargaan kepada semua agensi dan komuniti nelayan tempatan yang terlibat dalam operasi ini.

“Orang ramai dan komuniti maritim terutamanya diingatkan agar sentiasa memastikan aspek keselamatan diutamakan sebelum melakukan sebarang aktiviti di laut dan cakna dengan keadaan cuaca,” katanya.

Semalam media melaporkan, mangsa keluar memancing pada 11.30 malam pada Rabu bersama seorang rakan dengan menggunakan sampan.

Bagaimanapun, sampan mereka dirempuh bot pukat tunda yang tidak memasang lampu navigasi sekitar 5.30 pagi yang menyebabkan sampan itu pecah dan kedua-duanya terjatuh ke laut.

Mangsa yang tidak boleh berenang didakwa mengalami kekejangan kaki dan hanyut, sementara rakannya berenang ke pesisir pantai sebelum diselamatkan bot pancing berhampiran.

Loading...
Terkini