comscore
Tumpuan :
Nasional

Pemancing ‘lembik’ dua hari terapung cari daratan selepas bot karam

Foto: Ihsan Maritim Malaysia

KUANTAN: Berpantang maut sebelum ajal. Itu berlaku kepada dua pemancing apabila berjaya berenang ke pantai selepas bot mereka karam dipukul ombak di perairan Pulau Tioman, dekat Rompin.

Kedua-dua mangsa, Chia Swee Kwong, 49 dan Zulfahmi Izzudin Gan Abdullah, 45, yang dilaporkan hilang sejak Isnin lalu, ditemui orang awam dalam keadaan lemah di pantai Teluk Juara, dekat Pulau Tioman, hari ini.

Pengarah Agensi Penguatkuasa Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Pahang, Laksamana Pertama Maritim Kamal Ariffin Jusoh, berkata pihaknya menerima laporan mengenai penemuan mangsa kira-kira jam 2.30 petang tadi.

Beliau berkata, kedua-dua mangsa dibawa ke Klinik Kesihatan Tekek, Pulau Tioman bagi mendapatkan rawatan lanjut.

“Operasi mencari dan menyelamat (SAR) ditamatkan selepas Maritime Rescue Sub-Centre (MRSC) Kuantan menerima panggilan daripada Balai Polis Rompin memaklumkan mengenai penemuan kedua-dua mangsa itu.

“Kehilangan dilaporkan oleh majikan mereka sebaik mendapati mangsa tidak pulang selepas keluar memancing pada Isnin lalu.

“Usaha menjejaki mereka juga menemui jalan buntu selepas telefon bimbit kedua-dua pemancing itu gagal dihubungi,” katanya melalui kenyataan, hari ini.

Mangsa memaklumkan bot mereka kehabisan minyak dan dipukul ombak menyebabkannya karam.

“Kedua-dua mangsa terselamat kerana memakai jaket keselamatan dan berjaya berenang menuju daratan berdekatan,” katanya.

  • Tambahnya, Maritim Malaysia mengingatkan orang ramai dan penduduk sekitar supaya berhati-hati dan berwaspada di laut dengan mematuhi undang-undang terutama sentiasa memakai jaket keselamatan. – BERITA HARIAN
Loading...
Terkini