PASIR GUDANG: Pemandu Perodua Alza dipercayai di bawah pengaruh alkohol yang terbabit kemalangan meragut nyawa suami isteri di persimpangan lampu isyarat Jalan Besar/Jalan Mesjid di sini kelmarin dibebaskan dengan jaminan polis.
Ketua Polis Daerah Seri Alam, Superintendan Mohd Sohaimi Ishak berkata, terdahulu lelaki 34 tahun itu ditahan di lokasi kejadian.
Katanya, suspek yang mengalami kecederaan di kepala masih dirawat di Hospital Sultan Ismail (HSI).
“Kita sedang lengkapkan kertas siasatan sebelum dirujuk ke Pejabat Pendakwaan Negeri untuk tindakan selanjutnya,” katanya ketika dihubungi di sini, hari ini.
Semalam, media melaporkan Mohd Ridzwan Mohd Rudi, 37 dan isteri, Linda Mohd A Aziz, 35 maut di lokasi kejadian, selepas motosikal Honda Vario dinaiki dirempuh kereta dipandu lelaki dipercayai mabuk awal pagi kelmarin.
Kes disiasat mengikut Sekysen 44(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 iaitu memandu bawah pengaruh minuman yang memabukkan dan menyebabkan kematian.
Kemalangan itu menyebabkan lima anak pasangan terbabit iaitu Nur Aleesha Aindah Abdullah, 17, (Orang Kurang Upaya), Muhammad Ikmal Danish, 15, Nur Shahkira Mohd Ridzwan, 14, Nur Shahmira Mohd Ridzwan, 12, dan Nur Aisyah Humairah Mohd Ridzwan, 3 menjadi yatim piatu.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.