comscore
Tumpuan :
Nasional

Pemandu Avanza maut, nahas membabitkan 3 kenderaan dan lori 

KOTA KINABALU: Seorang lelaki warga emas maut dalam kemalangan yang membabitkan tiga kenderaan dan sebuah lori di Jalan Lintas, di sini, hari ini.

Nahas yang berlaku jam 2 petang itu membabitkan Toyota Avanza dipandu mangsa berusia 68 tahun dengan Toyota Revo, lori dan kenderaan utiliti sukan (SUV) RX350.

Pegawai Pusat Gerakan Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sabah, Penolong Penguasa Bomba, Riki Mohan Singh Ramday berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu jam 2.10 petang.

Katanya, sebuah jentera bersama 10 anggota termasuk pegawai dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) diketuai Pegawai Bomba Kanan II, Mohd Hasrulnizam Mohd Zain dihantar ke lokasi kejadian.

“Kemalangan membabitkan sebuah kenderaan jenis Toyota Avanza dipercayai melanggar Toyota Revo, lori dan Lexus RX350.

“Terdapat enam mangsa terbabit. Pemandu Toyota Avanza disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian oleh pegawai perubatan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM),” katanya.

Menurutnya, lima mangsa di tiga kenderaan tidak mengalami sebarang kecederaan.

“Mayat mangsa yang meninggal dunia diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut.

“Selepas memastikan keadaan selamat, operasi ditamatkan pada jam 2.50 petang,” katanya.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini