comscore
Tumpuan :
Nasional

Pemandu diserang sawan rempuh hospital, satu laporan polis sudah dibuat

MUAR: Satu laporan polis sudah dibuat Jabatan Kesihatan Negeri Johor (JKNJ) susulan kejadian sebuah kereta merempuh koridor utama Hospital Pakar Sultanah Fatimah Muar, semalam.

Pengarah JKNJ, Dr Mohtar Pungut berkata, pihaknya menyerahkan kepada polis untuk menjalankan siasatan lanjut mengenai kejadian itu.

“Koridor terbabit sudah dibuka semula dan kemalangan itu tidak menjejaskan fungsi utama kawasan terbabit.

“Pihak pengurusan HPSF kini dalam proses menilai kerosakan dialami serta kos bagi membaik pulih kawasan terbabit,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Pada masa sama, Dr Mohtar menjelaskan, insiden itu tidak membabitkan orang awam, pesakit ataupun kakitangan hospital itu.

“JKNJ mengesahkan kemalangan berlaku sekitar jam 10 malam, 7 Jun membabitkan sebuah kereta Proton Saga putih yang secara tiba-tiba merempuh masuk ke koridor utama HPSF.

“Kedua-dua mangsa (pemandu dan penumpang) dirawat di Jabatan Kecemasan dan Trauma hospital sama, dan disahkan dalam keadaan stabil.

“Pemandunya dimasukkan ke wad untuk pemerhatian manakala penumpang hanya cedera ringan dan dibenarkan keluar selepas menerima rawatan,” katanya.

Terdahulu, Ketua Polis Daerah Muar, Asisten Komisioner Raiz Mukhliz Azman Aziz berkata, siasatan awal mendapati, pemandu berusia 30 tahun itu mempunyai sejarah diserang sawan sebelum ini.

Katanya, pemandu dan penumpang lelaki berusia 28 tahun adalah pekerja syarikat pembekalan alatan perubatan ortopedik dari Hospital Sultanah Aminah (HSA) Johor Bahru untuk menghantar bekalan ke HPSF.

“Sebaik tiba dalam kawasan HPSF, pemandunya dipercayai diserang sawan menyebabkan hilang kawalan dan terbabas melanggar tiang tembok batu di hadapan jabatan X-ray terbabit.

“Siasatan masih dijalankan dan kes disiasat mengikut Seksyen 43 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa

|ARTIKEL BERKAITAN

Loading...
Terkini