
KEPALA BATAS: Seorang lelaki diserang sawan hingga menyebabkan kenderaan dipandunya merempuh tembok tanah perkuburan di Jalan Kedah, di sini, semalam.
Dalam kejadian 2.25 petang itu, mangsa yang juga pembantu am berusia 37 tahun cedera di rusuk.
Pemangku Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara Superintendan Zulkeflee Sulaiman berkata, siasatan awal mendapati, kemalangan berlaku ketika mangsa dalam perjalanan pulang ke rumah selepas beraya.
“Mangsa dikatakan beraya di Permatang Haji Hassan dan mahu pulang ke rumahnya di Permatang Tinggi A.
“Apabila sampai di lampu isyarat Jalan Kedah, mangsa dilaporkan diserang sawan dan terbabas hingga melanggar tembok kubur dan memasuki kawasan tanah perkuburan berkenaan,” katanya ketika dihubungi, di sini, hari ini.
Susulan kemalangan, lelaki berkenaan dibawa ke Hospital Kepala Batas (HKB) untuk rawatan.
Kes disiasat mengikut Peraturan 10 Kaedah-Kaedah Lalu Lintas Jalan 1959 (Rule 10 LN 166/59).
Terdahulu, tular video berdurasi lebih satu minit di platform media sosial berhubung insiden kemalangan berkenaan.
Dalam video itu memaparkan sebuah kenderaan didapati berada dalam kawasan tanah perkuburan selain beberapa batu nesan mengalami kerosakan.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.