comscore
Tumpuan :
Nasional

Pemandu E-Hailing Wajib Periksa Kenderaan Setahun Sekali

FOTO: Harian Metro

KUALA LUMPUR: Pemandu perkhidmatan e-hailing wajib menjalankan pemeriksaan kenderaan mereka sekali setiap tahun, bagi memastikan tahap keselamatan kenderaan itu terjamin.

Ketua Pemasaran dan Khidmat Nasihat Puspakom, Datuk Ooi Win Juat berkata, pemeriksaan di Pusat Pemeriksaan Kenderaan Berkomputer (Puspakom) itu perlu dijalankan bagi kenderaan berusia tiga tahun ke atas.

“Perkhidmatan e-hailing baru saja memasuki industri perdagangan, jadi mungkin mereka terlepas pandang perkara ini.

Oleh itu, pemandu e-hailing perlu membuat pemeriksaan Puspakom dan menyelenggara kenderaan mengikut jadual ditetapkan, bukan bila sudah rosak baru nak baiki.

“Ini kerana mereka menjalankan perkhidmatan untuk membawa penumpang. Jadi aspek keselamatan pengguna perlu dititikberatkan selain mengelak kos penyelenggaraan lebih tinggi,” katanya kepada Harian Metro.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas mengadakan kunjungan hormat ke Harian Metro di Balai Berita The New Straits Times Press (M) Bhd (NSTP) di sini, hari ini.

Turut hadir Pengarang kumpulan Harian Metro, Husain Jahit; Pengarang Eksekutif (Pengeluaran) Yusri Abdul Malek; dan Pengarang Berita Kanan, Sufian Thauri Muhammed serta Abdul Manan A Samad

Dalam pada itu, Ooi menangkis dakwaan sesetengah pihak bahawa penggunaan cermin gelap akan menyebabkan pemilik kenderaan gagal dalam pemeriksaan di Puspakom.

Beliau berkata, sekiranya cermin gelap yang digunakan mengikut spesifikasi ditetapkan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), maka kelulusan akan diberikan dan pemilik kenderaan tidak perlu menanggalkannya.

Bagaimanapun, katanya, pemilik kenderaan boleh menghadiri pemeriksaan secara sukarela dengan membayar RM15 terlebih dahulu untuk memastikan cermin gelap digunakan mengikut spesifikasi.

“Ini ramai orang tidak tahu, kebanyakan pemilik menggunakan pihak ketiga untuk buat pemeriksaan dan mereka biasanya akan suruh pemilik tanggalkan pelekat cermin gelap untuk elak gagal.

“Sedangkan kita (Puspakom) masih ada toleransi dalam membuat pemeriksaan, apa yang penting adalah memastikan kenderaan selamat.

“Sebab itu kita galakkan mereka datang buat sendiri (pemeriksaan). Ia tidak mengambil masa yang lama kira-kira 20 ke 30 minit sahaja,” katanya.-Harian Metro

Loading...
Terkini