comscore
Tumpuan :
Nasional

[VIDEO] Pemandu, kelindan lori ayam maut 

KAMPAR: Dua maut manakala seorang cedera dalam nahas membabitkan dua lori yang berlaku di kilometer 294.8 Lebuhraya Utara Selatan (PLUS) arah utara, dekat Gopeng pagi tadi.

Mangsa yang maut ialah Yew Khiang Khoon, 53, yang memandu lori sangkar ayam dan Abdul Rahman Mat Desa, 39 kelindan lori itu.

Ketua Polis Daerah Kampar, Superintenden Mohamad Nazri Daud berkata, berkata nahas membabitkan sebuah lori membawa muatan sangkar ayam yang dinaiki dua mangsa itu dengan sebuah lagi lori yang membawa muatan batuan, pemandunya cedera.

Jelasnya siasatan awal mendapati lori sangkar ayam melanggar bahagian belakang lori muatan batu semasa kedua-dua lori itu berada di lorong kiri.

Pelanggaran itu katanya mengakibatkan lori sangkar ayam mengalami kebakaran kecil namun kebakaran itu dapat dipadamkan pasukan bomba yang tiba di lokasi kejadian.

“Pemandu dan kelindan tersepit di dalam lori sangkar ayam terbabit namun dikeluarkan oleh anggota bomba. Namun meteka disahkan maut oleh pasukan paramedik.

“Manakala pamandu lori muatan batu dibawa oleh ambulans ke hospital kerana mengalami kecederaan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Tambah Mohamad Nazri, kemalangan itu mengakibatkan laluan kiri arah utara ditutup untuk kerja-kerja siasatan selain kerja-kerja pembersihan oleh pihak bomba serta PLUS Malaysia Berhad.

Katanya lagi punca kemalangan masih dalam siasatan dengan kes disiasat mengikut Seksyen 41 Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Sementara itu Penolong Pengarah Bahagian Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak, Sabarodzi Nor Ahmad berkata pihaknya menerima panggilan mengenai kejadian jam 9.10 pagi.

Susulan itu sepasukan bomba dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Gopeng, dan dibantu oleh BBP Simpang Pulai terbabit digerakkan ke lokasi kejadian dengan operasi dapat ditamatkan jam 11.28 pagi tadi.

Dalam pada itu PLUS menerusi laman sosial X memaklumkan insiden itu mengakibatkan trafik sesak sepanjang 10 kilometer (km)  apabila kedua-dua lorong menghala utara ditutup jam 10.23 pagi tadi sebelum lorong kanan mula dibuka jam 10.49 pagi dengan kedua-dua lorong dibuka sepenuhnya jam 1.31 tengahari tadi.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini