Tumpuan :
Nasional

Pemandu kenderaan berat perlu cakna penggunaan tayar selamat – MOT

Oleh: Rusyaidi Hafiz Shahid

SEREMBAN: Kementerian Pengangkutan (MOT) memberi peringatan kepada pengguna jalan raya terutama pemandu kenderaan berat supaya menitikberatkan penggunaan tayar yang selamat bagi mengelakkan berlakunya sebarang kejadian yang tidak diingini.

Ketua Setiausaha Kementerian Pengangkutan, Datuk M. Jana Santhiran berkata, jika ada pemandu kenderaan berat yang ingkar kepada arahan tersebut, mereka secara automatik tidak akan dibenarkan untuk meneruskan perjalanan dan notis kesalahan akan diberikan.

“Hasil daripada pemeriksaan teknikal yang dilakukan, pemandu-pemandu ini sering menggunakan tayar yang tak sepatutnya berada di atas jalan raya.

“Kami sudah melakukan beberapa pemeriksaan tayar-tayar yg dicelup tu hampir nak tercabut dah lapisan luar yg mana kalau tu tertanggal akan mengakibatkan bahaya la kepada pengguna jalan raya yang lain.

Beliau berkata demikian ketika sidang media selepas meninjau Op Khas Gempur Teknikal di Hentian Rehat Dan Rawat (RnR) Seremban Arah Selatan.

Mengulas lanjut, Jana Santhiran berkata, pemandu kenderaan berat juga disarankan supaya membawa tayar simpanam ganti yang menepati piawaian agar memudahkan mereka untuk proses penggantian tayar dan meneruskan perjalanan dengan selamat.

Dalam pada itu, MOT memaklumkan bilangan anggota Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) juga akan ditambah kepada 1,500 anggota bersempena Op Khas Gempur Teknikal yang dijangka diteruskan sehingga perayaan Tahun Baharu Cina nanti.

Katanya lagi, menerusi Op Khas Gempur Teknikal yang memasuki hari kelima, sebanyak 15,770 kenderaan yang membawa barangan diperiksa dan daripada itu, 1, 716 telah diambil tindakan.

Daripada jumlah itu, 15 kenderaan barangan disita dan 5,163 notis pelbagai kesalahan dikeluarkan.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini