KUALA LUMPUR: Sebanyak 95,298 saman kerana kesalahan melanggar lampu isyarat merah direkodkan di seluruh negara dari Januari hingga November tahun ini.
Pengarah Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik, Datuk Seri Mohd Yusri Hassan Basri berkata, saman paling tinggi membabitkan 44,889 saman kereta, motosikal (39,468), lori (3,937) dan lain-lain kenderaan (7,004).
“Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) ingin menegaskan bahawa kesalahan melanggar lampu isyarat merah adalah satu pelanggaran undang-undang jalan raya yang serius.
“Kesalahan ini menyumbang kepada peningkatan risiko kemalangan jalan raya, terutamanya di kawasan persimpangan utama,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Mohd Yusri berkata, JSPT tidak akan berkompromi terhadap mereka yang melanggar peraturan ini.
“Pemantauan dan penguatkuasaan lebih ketat akan dijalankan di lokasi yang dikenal pasti sering melakukan kesalahan ini.
“Kamera pengawasan di persimpangan utama akan dipertingkatkan bagi memastikan pelanggaran undang-undang dapat dikesan dan ditangkap dengan segera,” katanya.
Beliau berkata, JSPT akan berkolaborasi bersama agensi kerajaan lain, termasuk pihak berkuasa tempatan, untuk memastikan kesalahan lampu isyarat merah diambil tindakan mengikut Seksyen 79(2) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
“Bersempena Malaysia yang dipilih sebagai tuan rumah Kepengerusian Asean 2025, masyarakat dan semua pengguna jalan raya hendaklah sentiasa mempamerkan sikap yang lebih bertanggungjawab, mematuhi peraturan dan arahan daripada pihak berkuasa serta berdisiplin bagi menaikkan imej negara.
“JSPT juga menyeru semua pengguna jalan raya supaya sentiasa fokus ketika memandu dan tidak tergesa-gesa melintasi lampu isyarat merah,” katanya.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.