comscore
Tumpuan :
Nasional

Pemandu Lamborgini Dipenjarakan Selama 2 Minggu Dan Denda RM9,000

KUALA LUMPUR: Seorang pemandu Lamborghini dikenakan denda RM9,000 serta penjara dua minggu, atas kesalahan memandu secara melulu sehingga menyebabkan kemalangan di Jalan Tun Razak 8 September lalu. 

Mahkamah Trafik Jalan Duta menjatuhkan hukuman itu selepas Abdul Rahman Abdullah, berusia 28 tahun, mengaku bersalah ketika dituduh mengikut Seksyen 42(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Kuala Lumpur, Asisten Komisioner Sarifudin Mohd Salleh, berkata pemandu terbabit dikenakan hukuman denda RM9,000 dan penjara wajib dua minggu daripada tarikh ditahan.

“Lelaki berkenaan akan dipenjara selama lima bulan jika gagal membayar denda. Pemandu terbabit juga tidak dibenarkan mengambil lesen memandu selama lima tahun dan kesalahan diendorskan pada lesen memandu.

“Selain itu, saman turut dikenakan mengikut Seksyen mengikut Seksyen 26(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 kerana memandu kenderaan tanpa lesen memandu,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Dalam kejadian pada jam 8.40 pagi 8 September lalu itu, kenderaan mewah Lamborghini dipandu lelaki terbabit hilang kawalan lalu merempuh sebuah PROTON Perdana dipandu wanita berusia 53 tahun sehingga terbalik.

Kenderaan itu kemudian turut melanggar beberapa buah kenderaan lain yang berada di hadapannya menyebabkan beberapa pemandu mengalami kecederaan.

Ujian saringan air kencing dan alkohol yang dilakukan polis terhadap pemandu berkenaan mendapati negatif penggunaan bahan terlarang.

Dalam perkembangan berkaitan, Sarifudin mengesahkan pemandu terbabit bukanlah pemilik sebenar Lamborghini yang terbabit dalam kemalangan itu.

Loading...
Terkini