PETALING JAYA: Memandu mengikut aplikasi navigasi dipercayai menjadi punca seorang pemandu membelok secara tiba-tiba dan melanggar sebuah motosikal di Jalan 222, di sini, kelmarin.
Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Shahrulnizam Ja’afar berkata, siasatan mendapati kemalangan berlaku jam 3.36 petang membabitkan sebuah motosikal dan kereta Proton S70.
“Pemandu lelaki tempatan berusia 46 tahun membelok ke kiri secara tiba-tiba menyebabkan kemalangan dengan motosikal terbabit.
“Pemandu yang bekerja sendiri sebagai peniaga dalam talian, sudah dikesan dan membuat laporan,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Menurutnya, tiada kemalangan jiwa membabitkan kejadian ini, dan mangsa hanya mengalami kecederaan ringan.
Terdahulu, tular di media sosial klip video rakaman kamera papan pemuka berdurasi 30 saat memaparkan sebuah Proton S70 yang berada di lorong paling kanan tiba-tiba membelok ke lorong paling kiri.
Mangsa yang menunggang di paling lorong kiri pada jalan tiga lorong itu tidak sempat mengelak, menyebabkan pelanggaran yang mengakibatkan mangsa terjatuh ke atas jalan raya.
Shahrulnizam berkata kes disiasat mengikut Seksyen 43(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.
“Sebarang maklumat berkaitan boleh disalurkan kepada Bilik Gerakan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Petaling Jaya di talian 03-79662222,” katanya.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.