
TAWAU: Polis menahan seorang pemandu yang melarikan diri dari hospital selepas terbabit kemalangan di Jalan Mawar Kampung Jawa, dekat sini, awal pagi semalam.
Ketua Polis Daerah Tawau, Asisten Komisioner Jasmin Hussin berkata, lelaki berusia 22 tahun itu ditahan susulan laporan dibuat pegawai perubatan yang memaklumkan suspek melarikan diri ketika dirawat di Unit Kecemasan Hospital Tawau pada jam 2 petang.
“Suspek dipercayai melarikan diri bagi mengelak ditahan pihak berkuasa kerana tidak memiliki lesen memandu dan dokumen pengenalan diri yang sah.
“Dia ditahan sepasukan polis dari Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik diketuai Asisten Superintendan Joan Lee di Kampung Vietnam, Tanjung Batu, jam 7 malam, hari sama,” katanya menerusi kenyataan semalam.
Jasmin berkata, lelaki terbabit sebelum itu mendapat rawatan selepas cedera akibat kemalangan apabila kereta Proton Gen-2 yang dipandunya bersama tiga penumpang hilang kawalan sebelum terbabas.
Tiga penumpang termasuk remaja perempuan masing-masing berumur 14 hingga 16 tahun dilaporkan cedera ringan.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.