comscore
Tumpuan :
Nasional

Pemandu lori langgar lampu isyarat merah di Batu Pahat serah diri

BATU PAHAT: Seorang pemandu lori menyerah diri hanya beberapa jam selepas tindakannya melanggar lampu isyarat merah di Kilometer 25, Jalan Kluang-Batu Pahat, dekat Parit Hamid di sini, tular di media sosial, semalam.

Lelaki berusia 39 tahun itu tampil di Balai Polis Batu Pahat pada jam 3 petang selepas seorang pengguna jalan raya berjaya merakam dan memuatnaik video itu di Facebook.

Ketua Polis Daerah Batu Pahat, Asisten Komisioner Ismail Dollah, berkata pihaknya mengesan satu video di media sosial di mana lelaki yang memandu lori jenis Isuzu putih melakukan kesalahan semasa lampu isyarat merah, pada 11 pagi.

Katanya, pemandu itu tidak memberhentikan kenderaan sebaliknya meneruskan perjalanan ke arah Ayer Hitam.

“Hasil semakan melalui nombor pendaftaran, polis memperolehi identiti dan alamat pemilik kenderaan itu. Berikutan itu, polis meminta pemandu lori datang ke Balai Polis Trafik pada hari sama.

“Pasukan Unit Polis Peronda Lebuhraya (HMPV) kemudian mengeluarkan saman terhadap lelaki itu mengikut Peraturan 17, Kaedah-Kaedah Lalulintas 1959 kerana melanggar lampu isyarat merah.

“Dia kemudian dikenakan saman RM300. Polis meminta pengguna jalan raya supaya mematuhi peraturan kerana tindakan seperti ini boleh mendatangkan bahaya kepada orang lain,” katanya.

Terdahulu, tular video berdurasi 27 saat, sempat dirakam seorang pemandu kereta yang ketika itu mahu bergerak selepas lampu isyarat bertukar hijau di simpang Parit Hamid/Parit Botak.

Secara tiba-tiba muncul sebuah lori dipercayai dari arah Parit Raja tanpa memberhentikan kenderaan hingga hampir merempuh kereta terbabit.

Tindakan pantas Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Batu Pahat mengesan suspek mendapat pujian warga maya.

Loading...
Terkini