Tumpuan :
Nasional

Pemandu lori tekad mengubah nasib diri dan bawa keluarga ke Tanah Suci

Zulkifli Kamarudin, peserta uji bakat One In A Million.

KUALA LUMPUR: Setelah hampir 10 tahun bekerja sebagai pemandu lori, beliau kini bertekad untuk mengubah nasib dan mencari peluang baru yang dapat mengubah kehidupannya.

Itu adalah impian seorang peserta yang menyertai uji bakat Calpis Soda One In A Million (OIAM), Zulkifli Kamarudin dari Pulau Pinang.

Pengalaman Zulkifli bertahun-tahun di atas jalan raya telah memberinya ketahanan dan ketekunan dan kini, beliau merasa sudah tiba masanya untuk melangkah ke arah yang lebih baik.

Hasil ujibakat yang dijalaninya, pihak juri memberikan komen yang positif.

Menurut juri, Zulkifli memiliki suara yang begitu jujur dan authentic.

Beliau juga mempunyai personaliti yang tersendiri lagi unik, namun terkadang menunjukkan sisi yang sedikit pemalu.

Bagi Zulkifli, keinginannya untuk memperbaiki masa depan, baik bagi dirinya mahupun keluarga, mendorongnya untuk berfikir lebih jauh dan mencari jalan ke arah perubahan yang lebih positif dan bermakna dalam hidupnya.

“Jika terpilih dan berpeluang mara ke peringkat akhir, dan dengan izin rezeki untuk menjuarai OIAM kali ini, salah satu impian saya ialah hendak membawa keluarga menunaikan ibadah umrah.” katanya.

Menurut Zulkifli, kesempatan untuk mengunjungi tanah suci bersama orang-orang tersayang bukan hanya simbol kejayaan peribadi, malah ia merupakan impian penguat semangatnya untuk terus berusaha dan mengatasi cabaran demi membahagiakan keluarga serta membina masa depan yang lebih cerah.

Terdahulu, Calpis Soda, minuman kultur berkarbonat berperisa baharu di Malaysia, mengumumkan kembalinya program realiti ikonik, One In A Million (OIAM) selepas 15 tahun.

Program itu hadir dengan format baharu yang segar dan ganjaran luar biasa untuk memberi inspirasi kepada pemuzik berbakat di seluruh negara.

Ini lantas memperkukuh kedudukan OIAM sebagai pertandingan pencarian paling unggul negara.

Juara bakal membawa pulang hadiah wang tunai RM500,000, sebuah kereta dan kontrak rakaman bernilai RM400,000 selain juga berpeluang bekerjasama dengan artis dari Indonesia.

Uji bakat Calpis Soda One In A Million semalam dan hari ini diadakan di Aras 5, Sabah International Convention Centre (SICC) dan Hotel Atrium, Sunshine Central Penang dari jam 10 pagi hingga 10 malam.

Manakala uji bakat ketiga bakal diadakan di AEON Hall Aras 4, AEON Mall Shah Alam dan Blok D, Kompleks Perdanasiswa Universiti Malaya pada 16 dan 17 November ini juga dari jam 10 pagi hingga 10 malam.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini