ALOR GAJAH: Pekerja kontraktor Tenaga Nasional Berhad meninggal dunia selepas motosikal ditunggangnya dirempuh sebuah kereta dipercayai dipandu oleh lelaki dalam keadaan mabuk di Jalan Jeram, Masjid Tanah di sini, malam tadi.
Ketua Polis Daerah Alor Gajah, Superintendan Ashari Abu Samah berkata, dalam kejadian 8.50 malam itu, mangsa, Muhammad Syairazi Rahmat, 24, maut di tempat kejadian akibat parah di kepala.
Menurutnya, ketika kejadian, Muhammad Syairazi menunggang Yamaha 135LC dari Masjid Tanah menuju Kuala Sungai Baru, manakala Proton Wira yang dipandu lelaki berusia 34 tahun itu pula dari arah bertentangan.
“Kemalangan dipercayai berlaku apabila kereta itu memasuki ke laluan bertentangan dan melanggar motosikal mangsa secara berhadapan.
“Perlanggaran itu menyebabkan penunggang motosikal parah di kepala dan disahkan meninggal dunia di lokasi oleh kakitangan perubatan dan mayatnya dibawa ke Hospital Alor Gajah untuk proses bedah siasat.
“Pemandu kereta turut mengalami kecederaan di kepala dan dibawa ke hospital sama untuk rawatan lanjut,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Mengulas lanjut Ashari berkata, siasatan awal polis mendapati pemandu berkenaan tiada lesen memandu dan disyaki mabuk.
Beliau berkata, sampel darahnya turut diambil untuk dihantar ke Jabatan Kimia Melaka bagi ujian alkohol dan dadah.
“Siasatan masih diteruskan mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 termasuk mengesan saksi bebas.
“Semua kenderaan terbabit dibawa ke Puspakom (Pusat Pemeriksaan Berkomputer) untuk pemeriksaan,” katanya.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.