Oleh: Safwan Sawi
KOTA KINABALU: Seorang pemandu maut selepas terlibat dalam nahas melibatkan dua kenderaan bertembung di bawah jalan bertingkat di Jalan Mat Salleh, Tanjung Aru, di sini.
Mangsa lelaki dikenali sebagai Armada Said, berusia 56 tahun, ditemui tersepit dalam Proton Iswara Aeroback dipandunya dan tidak sedarkan diri.
Pegawai Pusat Gerakan Operasi (PGO) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sabah, berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 7.08 malam sebelum menggerakkan sembilan anggota ke lokasi yang terletak dua kilometer dari balai bomba.
“Kemalangan jalan raya melibatkan dua buah kenderaan jenis Proton Saga Aeroback dan Perodua Viva telah bertembung.
“Terdapat tiga orang mangsa terlibat dikeluarkan oleh Pasukan Bomba. Mangsa di dalam kenderaan Perodua Viva, 26 tahun, mengalami kecederaan dan telah dihantar ke hospital oleh orang awam,” kata kenyataan itu di sini, hari ini.
Tambahnya, terdapat dua orang mangsa di dalam kenderaan Proton Saga Aeroback, seorang mangsa yang juga pemandu disahkan meninggal dunia oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) di lokasi kejadian dan diserahkan kepada polis untuk tindakan selanjutnya.
“Manakala seorang mangsa lagi di dalam kenderaan Proton Saga Aeroback terbabit hanya mengalami kcederaan dan telah dihantar ke Hospital Queen 1 (HQE1) menggunakan Jentera EMRS untuk mendapatkan rawatan selanjutnya,” menurut kenyataan itu lagi.
Operasi ditamatkan pada jam 8.09 malam.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.