comscore
Tumpuan :
Nasional

Pemandu maut, dua penumpang cedera kemalangan dengan lori

KOTA BELUD: Seorang pemandu maut manakala dua penumpang cedera selepas kereta dinaiki mereka terbabit kemalangan dengan lori di Jalan Kota Belud – Kota Marudu, Kampung Wakap, di sini, hari ini.

Dalam kejadian jam 7.49 pagi itu, pemandu lelaki berusia 30 tahun yang memandu kereta jenis Proton Saga, meninggal dunia di tempat kejadian akibat cedera parah.

Ketua Polis Daerah Kota Belud, Superintendan Shahrudin Mat Husain berkata, hasil siasatan di tempat kejadian mendapati kereta Proton Saga terbabit datang dari arah Kota Marudu ke pekan Kota Belud.

“Sebaik tiba di lokasi kejadian, tiba-tiba kereta Proton Saga telah hilang kawalan lalu bertembung dengan sebuah lori lapan tan yang datang dari arah bertentangan.

“Akibat kemalangan itu, pemandu Proton Saga disahkan meninggal dunia manakala dua penumpang lelaki berusia 20 dan 41 tahun yang cedera dihantar ke Hospital Kota Belud untuk rawatan lanjut,” katanya dalam ketika dihubungi, hari ini.

Menurutnya, pemandu lori lelaki beruusia 41 tahun dan dua penumpang berusia 18 dan 27 tahun tidak cedera.

“Siasatan masih diteruskan dan kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.

“Polis menasihati orang ramai supaya sentiasa berhati-hati ketika memandu dan patuhi undang-undang jalan raya serta pastikan kenderaan dalam keadaan baik,” katanya.

Loading...
Terkini