comscore
Tumpuan :
Nasional

Pemandu maut, penumpang parah kereta bertembung lori

Foto: JBPM Sabah


Oleh: Safwan Sawi

TENOM: Seorang pemandu maut manakala penumpang parah selepas kenderaan dinaiki mereka terbabit kemalangan dengan sebuah lori 10 tan di Jalan Tenom – Kemabong, Batu 8, Kampung Sapong, di sini, hari ini.

Mangsa lelaki berusia 66 tahun disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian oleh pegawai perubatan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) akibat kecederaan parah.

Pegawai Pusat Gerakan Operasi (PGO) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sabah berkata, pihaknya menerima panggilan berhubung kejadian itu pada jam 11.46 pagi.

Sepasukan bomba dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Tenom diketuai Pegawai Bomba Kanan II, Shahril Sulaiman digerakkan ke lokasi kejadian.

“Kemalangan membabitkan sebuah lori 10 tan dengan muatan empat tong (satu berisi klorin) bertembung dengan sebuah kereta jenis Perodua Kembara.

“Dua mangsa dalam kereta Perodua Kembara berjaya dikeluarkan oleh pasukan bomba dan seorang disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian,” menurut kenyataan itu di sini, hari ini.

Seorang mangsa wanita berusia 71 tahun yang parah dihantar ke Hospital Tenom menggunakan ambulans KKM sebelum ketibaan pasukan bomba.

Pemandu lori lelaki berusia 46 tahun tidak mengalami sebarang kecederaan.

Mangsa yang meninggal dunia diserahkan kepada polis untuk tindakan lanjut dan operasi ditamatkan pada 1.17 tengah hari.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini