Tumpuan :
Nasional

Pemandu maut tersepit, kereta bertembung dengan van

Anggota bomba mengeluarkan mangsa kemalangan dua kenderaan di jalan berdekatan Balai Polis Bantuan Gohtong, hari ini. – FOTO: Ihsan Bomba

KUALA LUMPUR: Seorang lelaki maut manakala seorang lagi cedera dalam nahas membabitkan dua kenderaan berhampiran Balai Polis Gohtong Jaya, Batang Kali dekat sini, hari ini.

Laporan kejadian diterima pada jam 10.05 pagi sebelum sepasukan anggota bomba dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kuala Kubu Bharu dikejarkan ke lokasi.

Penolong Pengarah Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor, Ahmad Mukhlis Mokhtar berkata, kemalangan membabitkan sebuah kereta Toyota Corolla Altis dengan sebuah van jenis CAM Placer-X.

Katanya, mangsa yang maut adalah pemandu kereta iaitu seorang lelaki tempatan berusia 58 tahun, manakala pemandu van, lelaki tempatan berusia 33 tahun cedera pada kepala.

“Pemandu kereta didapati tersepit dalam kenderaannya dan anggota bomba terpaksa menggunakan alat ‘spreader’ sebelum berjaya mengeluarkan mangsa.

“Bagaimanapun, petugas ambulans Kementerian Kesihatan (KKM) mengesahkan mangsa sudah meninggal dunia. Mangsa yang cedera pula dikejarkan ke Hospital Selayang untuk rawatan,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Ahmad Mukhlis berkata, mangsa yang meninggal dunia diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut dan pasukan bomba meneruskan tugasan pembersihan lokasi kemalangan.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini