Tumpuan :
Nasional

Pemandu Mercedes ditahan selepas rempuh motosikal

Pemandu berusia 34 tahun yang juga warga tempatan itu dikesan merempuh sebuah motosikal selepas keluar dari Plaza Tol Chan Sow Lin di Lebuhraya SPE. -Tangkap layar tular

KUALA LUMPUR: Seorang pemandu kenderaan utiliti sukan (SUV) jenis Mercedes ditahan selepas disyaki terbabit dalam kejadian kemalangan di Lebuhraya Setiawangsa-Pantai (SPE) di sini, tengah hari semalam.

Dalam kejadian kira-kira jam 12.35 tengah hari itu, pemandu berusia 34 tahun yang juga warga tempatan itu dikesan merempuh sebuah motosikal selepas keluar dari Plaza Tol Chan Sow Lin di Lebuhraya SPE.

Ketua Jabatan Siasatan Penguatkuasaan Trafik Kuala Lumpur, Asisten Komisioner Mohd Zamzuri Mohd Isa, berkata pemandu kereta terbabit dikesan tidak berhenti selepas kenderaannya merempuh sebuah motosikal ditunggangi lelaki tempatan berusia 34 tahun.

“Kereta SUV itu kemudiannya dikesan di Plaza Tol Wangsa Maju (Lebuhraya SPE) selepas berhenti kerana mengalami kebakaran bermula dari bahagian bonet hadapan kereta.

“Kita percaya kebakaran berlaku akibat kesan daripada pelanggaran kereta terbabit dengan penunggang motosikal,” katanya kepada BH hari ini.

Mohd Zamzuri berkata, penunggang motosikal itu cedera di kepala, muka dan perut, manakala pemandu kereta berkenaan tidak mengalami sebarang kecederaan.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 42(1) Akata Pengangkutan Jalan 1987,” katanya.

Beliau berkata, orang ramai dinasihatkan memandu dengan berhati-hati dan berhemah supaya tidak menyebabkan kecederaan kepada pengguna jalan raya yang lain.

“Sekiranya terbabit di dalam kemalangan adalah menjadi tanggungjawab kepada pengguna jalan raya untuk membuat laporan polis.

“Orang ramai yang mempunyai sebarang pertanyaan atau maklumat boleh menghubungi Hotline Balai Polis Trafik di talian 03-2026 0267/69 dan Hotline Polis Kuala Lumpur di talian 03-2115 9999 atau manamana Balai Polis yang berhampiran,” katanya.

Terdahulu, video kejadian kemalangan itu tular di media sosial menunjukkan kereta berkenaan merempuh motosikal sebelum dikesan terbakar sejauh lebih lapan kilometer.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

| ARTIKEL BERKAITAN

Loading...
Terkini