DUNGUN: Pemandu wanita yang terbabit dalam kemalangan yang mengorbankan tiga pelajar Universiti Teknologi Mara UiTM Dungun tidak pernah mendapat rawatan sakit mental di Fasiliti Kesihatan di negeri ini.
Pengarah Kesihatan Terengganu, Datuk Dr Kasemani Embong berkata, pihaknya tidak mempunyai rekod berhubung kesihatan wanita berusia 49 tahun terbabit.
Menurutnya, pihaknya tidak dapat mengesahkan sama ada wanita terbabit mendapat rawatan di negeri lain.
Katanya, beliau berharap mana-mana ahli keluarga yang berkemungkinan menghidap penyakit mental supaya tampil menghantar individu terbabit untuk mendapatkan rawatan lanjut.
Dalam kejadian kira-kira jam 7.20 malam kelmarin sebuah kenderaan Utiliti Sukan SUV jenis Honda CRV dipandu seorang wanita merempuh dua buah motosikal yang ditunggang empat pelajar Universiti Teknologi Mara UiTM Kampus Dungun itu dari arah belakang
Kemalangan itu menyebabkan tiga pelajar iaitu, Ku Adib Aizad Ku Azmi, 20; Khairil Anwar Jamaludin, 20 dan Muhammad Akmal Md Tukirin, 25, maut di tempat kejadian.
Seorang lagi mangsa, Muhammad Ammar Danish Mohammad Ridhuan, 20, mengalami kecederaan di bahagian pinggang dan masih dirawat di Hospital Dungun.
Ketika kejadian, kesemua mangsa dikatakan dalam perjalanan pulang ke kampus universiti selepas selesai makan malam di sebuah kedai makan tidak jauh dari tempat kejadian.
Berikutan kejadian itu, polis menahan pemandu SUV terbabit berusia 49 tahun dan direman selama empat hari untuk siasatan lanjut.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.