Oleh: Mohd Ishak Abdillah Ngah
KUALA TERENGGANU: Ketua Polis Terengganu, Datuk Mohd Khairi Khairudin mengesahkan pemandu wanita, Norizan Ismail, 49 tahun yang memandu kenderaan utiliti sukan (SUV) sehingga menyebabkan kematian tiga pelajar Universiti Teknologi Mara (UiTM), tiada lesen memandu.
“Hasil siasatan mendapati, wanita itu tidak mempunyai lesen memandu,” katanya ketika ditemui di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kuala Terengganu.
Pagi tadi, Norizan Ismail telah didakwa di Mahkamah.
Tertuduh berdepan tiga pertuduhan di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan Di Mahkamah Majistret Dungun kerana telah melakukan bunuh dengan menyebabkan kematian terhadap Ku Adib Aizad Ku Azmi dan Khairil Anwar Jamaludin masing-masing berusia 20 tahun dan Muhammad Akmal Md Tukirin, 25 tahun, pada 9 Oktober 2024, jam 7.35 malam.
Sementara itu di mahkamah berasingan, tertuduh turut didakwa melakukan perbuatan cubaan membunuh sehingga menyebabkan kecederaan kepada seorang lagi pelajar UiTM kampus Dungun, Muhammad Ammar Danish Mohammad Ridhuan, 20, di Mahkamah Sesyen, Kuala Terengganu.
Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa melakukan kesalahan itu pada hari dan waktu yang sama di Jalan Pantai, berhadapan UiTM Dungun.
Mohd Khairi turut menjelaskan kes itu disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.
Menurutnya, Jabatan Peguam Negara (AGC) mengarahkan suspek dituduh di bawah seksyen itu kerana mempunyai unsur bunuh terhadap mangsa.
“Mangsa telah dirempuh, dilanggar, dan diseret lebih 100 meter dan polis mendapati ia mungkin mempunyai unsur bunuh itu wujud.
“Sebab itu kertas siasatan dibuka di bawah Jabatan Siasatan Jenayah dan juga trafik,” ujanya.
Dalam perkembangan lain, pihaknya sudah memanggil 11 saksi kejadian untuk diambil keterangan bagi membantu siasatan kes berkenaan.
Orang ramai juga dinasihatkan supaya tidak membuat sebarang spekulasi sehingga boleh menggangu siasatan.
Dalam kejadian Rabu lalu, wanita berkenaan yang memandu kenderaan SUV merempuh dua motosikal dinaiki empat pelajar yang dalam perjalanan pulang ke kampus.
Ku Adib Aizad Ku Azmi, Khairil Anwar Jamaludin, dan Muhammad Akmal Md Tukirin, disahkan meninggal dunia dilokasi kejadian.
Seorang lagi mangsa cedera yang juga penuntut Ijazah Sarjana Muda Perakaunan, Muhammad Ammar Danish Mohd Ridhuan, 20, sebelum ini dirawat di Hospital Dungun telah dibenarkan keluar dari hospital itu kelmarin.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.
| ARTIKEL BERKAITAN
- 3 penuntut UiTM Dungun maut, 1 cedera parah dirempuh SUV
- Anak Penolong Pengarang Berita BH antara 3 pelajar UiTM Dungun maut dirempuh SUV
- Pemandu wanita sebabkan kematian tiga pelajar UiTM direman empat hari
- ‘Sebagai seorang Islam, saya maafkan dia’
- Nahas Pelajar UiTM Dungun: Mohd Ammar Danish dibenar keluar hospital