comscore
Tumpuan :
Nasional

Pemandu tanpa lesen, bawah umur bahayakan pengguna – Pakar

Foto hiasan

KUALA LUMPUR: Pengguna jalan raya yang tidak mempunyai lesen memandu lebih-lebih lagi remaja bawah umur cenderung mengancam keselamatan pengguna lain kerana tidak melalui proses pembelajaran sepatutnya.

Pakar Psikologi Trafik dan Keselamatan Jalan Raya, Universiti Kebangsaan Malaysia, UKM, Profesor Dr Rozmi Ismail berkata, wujud segelintir ibu bapa yang tidak endah mengenai penggunaan kenderaan oleh anak bawah umur di jalan raya.

“Memang ada, nak kata ramai tak pasti, memang ada ibu bapa sedemikian mereka tak ambik berat isu ni, yang penting anak mereka boleh bawa kenderaan,

“Kalau nak bawak kenderaan depan rumah mungkin, walaupun dia masih salah, tetapi risikonya mungkin tidak sebegitu berat” katanya kepada Buletin TV3.

Profesor Dr Rozmi Ismail

Tambahnya, ibu bapa perlu memberikan penekanan kepada anak-anak tentang bahaya pemanduan tanpa lesen dan pengetahuan selain daripada kempen yang dianjurkan kerajaan.

Tegas beliau, elemen yang dipelajari secara formal di institut memandu serta kemahiran pemanduan berhemah diperlukan untuk memandu di jalan raya tanpa menimbulkan ancaman bahaya kepada pengguna lain.

Ahad lalu, seorang wanita dilaporkan maut selepas motosikal ditunggang dilanggar kereta dipandu remaja perempuan berusia 14 tahun di jalan Kuala Kedah.

Mangsa Nur Syafiqah Abdullah yang berusia 32 tahun meninggal dunia dalam nahas berkenaan, manakala kakaknya yang membonceng motosikal terbabit, Nooraliza, 43 tahun, cedera.

Loading...
Terkini