comscore
Tumpuan :
Nasional

Pemandu Teksi Mohon Skim Pinjaman Diwujudkan

Foto: BERITA HARIAN

PASIR GUDANG: Kalangan pemandu teksi memohon kerajaan mewujudkan skim pinjaman bersesuaian untuk membantu golongan itu yang berhadapan masalah kewangan.

Bagi Pengerusi Persatuan Pemandu Teksi Pasir Gudang, Rahman Arif, pemandu teksi sukar membuat hutang termasuk pinjaman peribadi terutama untuk digunakan bagi menukar kenderaan baharu selepas teksi berusia 10 tahun.

“Usia teksi yang dibenarkan dalam syarat lesen hanya maksimum 10 tahun dan selepas itu perlu menggantikan dengan teksi yang baharu.

“Ia dilihat membebankan dalam keadaan kita terpaksa bersaing dengan pemandu e-hailing. Kita minta kerajaan menyalurkan dana mencukupi menerusi Bank Simpanan Nasional (BSN) atau mana-mana bank swasta untuk memudahkan pemandu teksi membuat pinjaman dengan kadar faedah serendah dua peratus,” katanya pada sidang media hari ini.

Terdahulu persatuan mewakili pemandu teksi mengadakan pertemuan dengan Ahli Parlimen Pasir Gudang, Hassan Abdul Karim di bandar Permas Jaya.

Selain dana pembiayaan, pemandu teksi juga meminta kerajaan memanjangkan had usia teksi yang digunakan daripada 10 kepada 15 tahun kerana tempoh satu dekad itu singkat.

Beliau juga mencadangkan kerajaan memberi insentif pinjaman RM5,000 kepada pemandu teksi seluruh negara untuk membeli teksi baharu.

Katanya, pemandu teksi juga terikat dengan pelbagai peraturan dan syarat tidak seperti pemandu e-hailing yang diberi banyak kelonggaran daripada pihak Agensi Pengangkutan Awam Darat (SPAD).

Sementara itu, Hassan berkata, menerusi pertemuan berkenaan mereka membangkitkan layanan dan peraturan tidak adil pihak SPAD antara pemandu atau pemilik teksi dan pemandu atau pemilik e-hailing.

“Terdapat layanan dua darjat contohnya pemandu teksi perlu mencarum dengan PERKESO untuk insurans sebanyak RM232 setahun manakala pemandu e-hailing diberikan diskaun 80 peratus dan hanya perlu membayar RM46.40 sahaja setahun,” katanya.

Hassan berkata, semua masalah pemandu teksi termasuk pendapatan terjejas akibat pandemik COVID-19 akan disuarakan dalam Parlimen yang akan bersidang pada 3 Oktober ini bagi mencari penyelesaian.

“Jika tidak ditangani, perkhidmatan teksi dikhuatiri akan pupus pada masa depan,” katanya. -BERITA HARIAN

Loading...
Terkini