SIK: Dua pemandu kereta parah akibat tersepit dalam kemalangan membabitkan empat kenderaan termasuk dua motosikal di hadapan Maktab Mahmud, Jalan Batu 8 di sini, malam tadi.
Kedua-dua mangsa masing-masing cedera di kaki, muka dan paha, dikeluarkan dengan bantuan anggota Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Sik.
Difahamkan, nahas dipercayai berlaku akibat seorang pemandu kereta terbabit dikatakan ‘terlelap’ ketika memandu.
Ketua BBP Sik, Penolong Penguasa Bomba Zulkhairi Mat Tanjil berkata, pihaknya menerima panggilan jam 9.11 malam.
Beliau berkata, kemalangan itu membabitkan sebuah kereta Perodua Myvi dan Perodua Kancil manakala dua motosikal masing-masing Yamaha Ego Avantis serta Honda Wave.
Bomba mengeluarkan dua pemandu yang tersepit dalam Perodua Myvi dan Kancil menggunakan peralatan khas ‘lucas power unit resque’.
“Kejadian dikatakan berlaku apabila Perodua Kancil dari arah Pekan Sik melanggar bahagian hadapan Perodua Myvi dan dua motosikal yang ketika itu dari arah Batu 8 untuk ke Pekan Sik,” katanya ketika dihubungi hari ini.
Zulkhairi berkata, menurut beberapa saksi di lokasi kejadian pemandu Perodua Kancil dipercayai terlelap (microsleep) dan memasuki jalan bertentangan arah Perodua Myvi dan kejadian berlaku di kawasan selekoh tajam di hadapan Maktab Mahmud SIK dan simpang tiga Kampung Kemelong.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.