comscore
Tumpuan :
Kemalangan

Pemandu treler maut selepas terbabas, trafik sesak 10 km

 

SEREMBAN: Pemandu treler maut selepas kenderaan dipandunya terbabas akibat tayar pecah sebelum terbalik dekat Kilometer (KM) 268.3 Lebuhraya Utara- Selatan (Plus), arah selatan, dekat susur keluar Ainsdale, di sini, petang tadi.

Ketua Polis Daerah Seremban, Asisten Komisioner Mohamad Hatta Che Din berkata, dalam kejadian kira-kira jam 5.30 petang itu, treler berkenaan dipandu seorang lelaki berusia 32 tahun menghala ke Johor.

“Siasatan awal mendapati kemalangan berlaku apabila sebuah treler jenis Scania sedang membawa muatan besi tembaga yang dipandu seorang lelaki sedang bergerak dari Bukit Raja menuju ke Johor Bahru.

“Apabila tiba di lokasi kejadian, tayar hadapan sebelah kanan dipercayai pecah dan menyebabkan treler hilang kawalan lalu terbabas melanggar besi penghadang tengah jalan dan terbalik,” katanya, hari ini.

Jelas beliau, akibat kemalangan, pemandu treler mengalami kecederaan parah dan disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian.

“Mayat mangsa dibawa ke Jabatan Perubatan Forensik Hospital Tuanku Jaafar (HTJ), di sini, untuk pengendalian bedah siasat,” katanya.

Kemalangan itu menyebabkan semua laluan terhalang dan menyebabkan kesesakan sejauh kira-kira 10 km arah selatan.

Mohamad Hatta berkata, sesiapa yang mempunyai maklumat mengenai kejadian ini boleh berhubung dengan pegawai penyiasat kes iaitu Inspektor Mohd Zaman di talian 012-7173867 atau boleh terus ke mana-mana balai polis berhampiran bagi membantu siasatan.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 dan siasatan lanjut masih diteruskan,” katanya.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini