comscore
Tumpuan :
Nasional

Pembakaran terbuka sukar dipadamkan 

Oleh: Mohd Ishak Abdillah Ngah 

KUALA NERUS: Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) menasihati orang ramai khususnya petani supaya tidak melakukan pembakaran terbuka.

Ketua Pengarahnya, Datuk Nor Hisham Mohamad berkata, selain terpaksa mengambil masa yang agak lama untuk memadam kebakaran, pihaknya terpaksa menempatkan lebih ramai anggota di lokasi pembakaran terbuka yang kebanyakannya jauh
di pedalaman.

Sekaligus menyukarkan operasi memadam kebakaran di tempat lain terutama di kawasan bandar jika kekurangan anggota.

“Kerisauan kita apabila respons kawasan lalang dan belukar ini selalunya dia ambil tempoh yang lama untuk memadamkan kebakaran menggunakan logisitik yang banyak dalam jabatan dan dalam keadaan ini menyebabkan berlaku lompang perlindungan atau vacuum protection untuk keselamatan kebakaran struktur di kawasan-kawasan perbandaran lah.

“Jadi kita terpaksa agihkan anggota kita, bila kita buat agihan itu menyebabkan lompang itu akan wujud kalau dari peringkat awal masyarakat sama-sama dapat kerjasama dengan kita, kita jangkakan lompang itu akan berkurangan”, katanya.

JBPM menyeru kepada orang ramai supaya cakna kepada isu musim kering yang dijangka berlaku Mac ini untuk sama-sama kurangkan risiko pembakaran terbuka.

Sebelum ini JBPM akan bekerjasama dengan pelbagai agensi bagi mengatasi masalah kebakaran hutan dan kebun sepanjang musim kemarau.

Ia termasuk Jabatan Alam Sekitar (JAS), Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) serta pihak berkuasa tempatan.

Dalam perkembangan lain, Datuk Nor Hisyam turut bimbang dengan kes lemas yang berlaku di negara ini.

Jelasnya, orang ramai turut dinasihatkan supaya lebih berwaspada dan sentiasa mematuhi arahan pihak berkuasa seperti tidak mandi atau berenang di lokasi berisiko sama ada di kawasan rekreasi, sungai, dan pantai.

Jelasnya, terdapat 21 lokasi berisiko berlaku fenomena kepala air dikenal pasti di negeri itu.

Ditanya bersabit kes lemas Mohd Izwan Ilias, 42, yang juga anggota Pasukan Penyelamat Di Air (PPDA) Balai Bomba dan Penyelamat Butterworth, JBPM kini sedang menubuhkan satu jawatankuasa bagi menjalankan siasatan terperinci kejadian itu.

“Punca kematian awal dari forensik adalah lemas dan kita akan tubuh jawatankuasa sebab kita ada manual prosedur keselamatan dan kesihatan pekerja yang digunakan oleh jabatan.

“Dalam konteks ini, siasatan itu akan dibuat di peringkat ibu pejabat untuk kita tengok bagaimana situasi menjurus pada insiden dan siasatan kita bagi tempoh dua minggu”, ujarnya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas meghadiri Majlis Perkhidmatan Cemerlang (APC) Tahun 2023 dan Sijil Perkhidmatan 30 Tahun Jabatan Bomba dan Penyelamat Negeri Terengganu.

Untuk rekod, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) menerima sejumlah 325 panggilan mencari dan menyelamat bagi kes lemas di air pada tahun lalu.

Daripada jumlah itu, insiden kes lemas di kawasan sungai dan tali air mencatatkan jumlah kes tertinggi iaitu sebanyak 185 kes.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini