comscore
Tumpuan :
Nasional

[VIDEO] Pembangkang ‘bisu’ mengenai siasatan golongan maha kaya – PM

Oleh: Juliana Sharin

KUALA LUMPUR: Pemimpin pembangkang dilihat masih membisu dan tidak menyatakan sebarang sokongan terhadap usaha Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menyiasat golongan ‘maha kaya’ yang dikaitkan dengan isu rasuah.

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, malah ada dalam kalangan mereka yang didakwa membela tokoh besar terbabit, yang berdepan siasatan oleh agensi berkenaan.

Tambah Datuk Seri Anwar lagi, pihak berkenaan sebaliknya hanya menuduh siasatan terhadap ‘maha kaya’ dibuat kerana ‘dendam kesumat’.

“Saya lihat di Parlimen, pembangkang menggelupur seolah-olah marah, benci dan tidak ada suara pembangkang yang sokong langkah membanteras rasuah. Bagi saya aneh.

“Saya semasa menjadi pembangkang, bila ada cadangan pemerintah usul SPRM, saya dukung. Malah saya kata belum cukup berani.

“Baru-baru ini ada tindakan SPRM terhadap salah satu tokoh besar yang dianggap paling ‘maha kaya’. Belum ada suara daripada pembangkang,” katanya.

Perdana Menteri berucap merasmikan Sidang Kemuncak Anti-Rasuah Kebangsaan (NAC Summit) 2024 di ibu negara, hari ini.

Turut hadir Menteri Sumber Manusia, Steven Sim Chee Keong, Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Tan Sri Azam Baki, dan Pengerusi HRD Corp, Datuk Shahul Dawood.

Dalam ucapannya, Datuk Seri Anwar Ibrahim turut menegaskan bahawa mana-mana anggota Kabinet di bawah pimpinannya yang didapati terlibat dengan salah laku rasuah, wajib digugurkan daripada jawatan disandang.

“Sudah setahun lebih kita memerintah, banyak diserang, tetapi saya tanya di Parlimen dan di luar Parlimen beri satu bukti menteri, perdana menteri sekarang kalau mereka ada rasuah, dan kalau ada, kita siasat, dakwa dan ikut badan kehakiman, hukum. Namun tidak ada, dan setahun tiga bulan saya ‘tabik’ dengan rakan-rakan, kita boleh beri imej rakan kepimpinan yang bersih daripada rasuah, dan ingatan itu jelas” katanya.

Tindakan itu tegasnya bagi menyelamatkan negara daripada gejala rasuah.

Beliau juga telah mengarahkan SPRM untuk mengambil tindakan terhadap jemaah Menteri yang didapati terlibat dengan salah laku itu.

“kalau ada (rasuah), saya akan kata jangan tanya saya, persila ambil tindakan dan orang bekenaan wajib digugurkan, baru negara selamat,” tegasnya.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini