comscore
Tumpuan :
Nasional

Pembangkang gesa tamatkan larangan wakil rakyat masuk jabatan kerajaan, sekolah

Ahli Parlimen Jerantut – Khairil Nizam Khirudin. – FOTO: Tangkap layar YouTube/ Parlimen Malaysia

KUALA LUMPUR: Ahli Parlimen Perikatan Nasional (PN) hari ini menggesa kerajaan menamatkan larangan kepada wakil rakyat pembangkang masuk ke jabatan kerajaan, sekolah, masjid dan surau, yang disifatkan bertentangan dengan semangat reformasi Parlimen.

Khairil Nizam Khirudin (PN-Jerantut) mendakwa ‘wujud arahan tidak bertulis’ yang melarang pihak jabatan kerajaan, sekolah, masjid serta surau membenarkan wakil rakyat pembangkang masuk, meskipun untuk program bukan politik.

Tegasnya, politik pilihan raya dan balas dendam itu tidak sepatutnya dilaksanakan, dalam keadaan kerajaan memerlukan bantuan semua pihak, termasuk wakil rakyat pembangkang, untuk membantu rakyat dalam suasana ekonomi tidak menentu dan cabaran kos sara hidup yang tinggi ketika ini.

“Ada kalanya kita dijemput pihak sekolah untuk memberikan sumbangan. Mereka hantar surat minta sumbangan dan jemput untuk kita hadir (majlis penyampaian sumbangan).

“Bukannya kita masuk semberono. Masuk rumah orang kena ada keizinan. Sekolah bagi izin untuk masuk, tapi tak dibenarkan akhirnya, dibatalkan pada saat akhir. Kita kena keluar daripada gaya politik sebegini.

“Pengalaman di Jerantut sendiri, banyak juga program yang ingin kita lakukan seperti kunjungan hormat ke jabatan kerajaan, namun ada arahan tidak bertulis yang tidak membenarkannya.

“Kita dah habis tempoh berkempen pilihan raya. Rakyat kita bukannya UMNO, PAS, BERSATU, DAP, tapi semuanya adalah rakyat Malaysia, jadi harap isu ini dapat diselesaikan dengan baik,” katanya ketika membahaskan usul Titah Diraja di Dewan Rakyat, hari ini.

Beliau menjawab celahan Mohd Misbahul Munir Masduki (PN-Parit Buntar) yang bertanya sama ada tindakan melarang wakil rakyat pembangkang menanjurkan program di sekolah dan masjid, bertepatan dengan prinsip keadilan dalam dasar Malaysia Madani digagaskan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Ucapan Khairil yang juga Ketua Penerangan PAS, juga bagi menjawab celahan Tan Hong Pin (PH-Bakri) yang bertanya apakah matlamat wakil rakyat pembangkang ingin masuk ke sekolah, masjid dan surau.

Mengulas lanjut, Khairil menggesa kerajaan lebih serius mengawal aktiviti pembalakan dan mengenakan tindakan tegas pada pihak yang terbabit melaksanakan pembalakan secara haram.

“Pembalakan yang dilakukan secara haram wajib dihentikan serta merta dan dihukum setimpal dengan kemusnahan yang dilakukan pihak itu.

“Rakyat Jerantut menghadapi gangguan bukan saja kera, atau pencuri semata-mata, tapi ada gangguan gajah, beruang matahari, babi hutan, harimau kumbang dan terkadang harimau belang akibat pembalakan tidak dikawal selia dengan baik,” katanya.

Loading...
Terkini