comscore
Tumpuan :
Nasional

Pembangunan Di Kaki Bukit Dinding Tidak Dibenar, Sesi Komunikasi Belum Muktamad

KUALA LUMPUR: Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) tidak membenarkan sebarang kerja pembangunan di sepanjang kaki Bukit Dinding di Wangsa Maju di sini, selagi sesi komunikasi strategik bersama penduduk belum dimuktamadkan.

DBKL dalam kenyataan hari ini memaklumkan tapak projek itu merupakan kawasan dikhaskan untuk pembangunan kediaman di kawasan R12, Bandar Baru Wangsa Maju berdasarkan Pelan Konsep Pembangunan Bandar Baru Wangsa Maju yang diluluskan pada 1984.

“Tanah tapak projek ini milik persendirian dan pelan susun atur yang dikemukakan pemilik tanah diluluskan pada 2004 adalah untuk pembangunan kediaman.

“Pelan susun atur pindaan diluluskan pada 2018 pula bagi pembangunan kediaman dan kemudahan sebuah rumah kelab. Kelulusan pindaan pelan susun atur ini telah dinilai dan mendapati ia mematuhi Garis Panduan Pembangunan di Kawasan Bukit dan Cerun WPKL 2010 (GPWPKL2010),” menurut kenyataan itu.

Menurut kenyataan itu pelan susun atur pindaan itu juga mematuhi keperluan jabatan teknikal dalaman DBKL dan agensi teknikal luaran yang berkaitan.

“Selain itu, cadangan pembangunan berkenaan telah diperakukan oleh pemeriksa bebas bertauliah yang dilantik bagi memeriksa kestabilan cerun di tapak cadangan. Sebahagian keluasan cadangan pembangunan telah dikhaskan bagi tujuan kawasan lapang/kawasan hijau,” menurut kenyataan itu.

Kenyataan itu memaklumkan cadangan pembangunan tersebut juga telah melalui proses pandangan awam dan DBKL turut mengadakan sesi libat urus bersama penduduk setempat seawal 2015.

Seterusnya, Perintah Pembangunan bagi cadangan pembinaan pembangunan Parcel 2 yang mengandungi dua blok kediaman 26 tingkat telah diluluskan pada 2022 selaras dengan pelan susun atur yang diluluskan pada 2018.

Sebelum ini, dalam satu laporan media, Ahli Parlimen Setiawangsa Nik Nazmi Nik Ahmad menyuarakan kebimbangan penduduk setempat dan menuntut DBKL memberikan butiran terperinci mengenai isu keselamatan serta kestabilan cerun di kawasan berkenaan.

Sementara itu, dalam kenyataan berasingan, DBKL pada 9 Mei lalu telah mengeluarkan Pelan Tindakan Banjir Kilat 2022 bagi mengurangkan masalah banjir kilat yang berlaku di ibu negara.

Menurut kenyataan itu DBKL bersama beberapa agensi sedang melaksanakan tindakan tebatan banjir seperti yang terdapat dalam pelan tersebut dan warga kota juga boleh merujuk kepada Laporan Ketua Audit Negara 2021 Siri 1 dengan melayari laman sesawang di https://lkan.audit.gov.my/.

Semalam, media melaporkan bekas presiden Majlis Peguam Malaysia Datuk Ambiga Sreenevasan dan tujuh lagi penduduk di ibu negara memberi tempoh lima hari kepada DBKL untuk mendedahkan maklumat kepada warga kota berhubung pelan mitigasi banjir bagi musim tengkujuh atau berdepan tindakan undang-undang. – BERITA HARIAN

Loading...

Terkini