comscore
Tumpuan :
Nasional

Pembangunan pelajar perlu dinilai secara holistik

Fadhlina Sidek (dua dari kiri) pada majlis perasmian Karnival Kokurikulum Peringkat Kebangsaan 2024 di Dewan Serbaguna Tan Yew Sing INTI International University, di sini, petang ini. FOTO: NSTP

NILAI: Keseluruhan pembangunan murid perlu dilihat secara holistik termasuk mengambil kira pencapaian dalam akademik, kokurikulum serta potensi dalam bidang lain.

Menteri Pendidikan Fadhlina Sidek berkata Karnival Kokurikulum Peringkat Kebangsaan (Karnival KOKUM) merupakan antara usaha kementerian, bagi memastikan kemenjadian murid dan pembangunan pelajar seiring dengan pencapaian akademik, badan beruniform serta beberapa potensi lain.

Beliau berkata penglibatan pelajar dalam menerokai bidang lain berkaitan inovasi dan kreativiti, penting bagi memfokuskan kemenjadian murid.

“Saya optimis dalam pendidikan, tidak seharusnya melihat dalam satu aspek sahaja, jadi Karnival Kokurikulum antara usaha kementerian bagi memastikan kemenjadian murid, pembangunan anak-anak seiring bukan sahaja dalam akademik tetapi dalam potensi lain.

“KPM sentiasa melihat kemenjadian murid ini dalam pelbagai aspek dan bidang, serta meraikan semua potensi yang ada,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Karnival KOKUM 2024 di sini hari ini.

Turut hadir Ketua Ketua Pengarah Pendidikan Azman Adnan dan Pengarah Pendidikan Negeri Sembilan (JPNS) Datuk Dr Roslan Hussin.

Beliau berkata karnival disertai lebih 300 pelajar itu, merupakan platform terbaik bagi mengalakkan para pelajar mendalami minat masing-masing selain cemerlang dalam akademik.

Fadhlina berkata kementerian ketika ini turut memfokuskan hala tuju negara dalam reformasi pendidikan, dengan mewujudkan pelbagai jawatankuasa khas bagi menangani isu berkaitan pendidikan.

“Fokus utama saya memastikan reformasi pendidikan ini dapat berjalan dengan lancar dan kita minta semua pihak yang berminat untuk bersama KPM, berbincang mengenai program bersesuaian kerana isu pendidikan melibatkan semua pihak dan semua pandangan diraikan,” katanya.

Fadhlina berkata KPM juga memperkenalkan program Tindak Susul Parlimen, iaitu ketika ini fokus untuk menyelesaikan isu sekolah daif, penyelenggaraan sekolah serta pembangunan murid.– BERNAMA

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini