comscore
Tumpuan :
Nasional

Pembantu jualan trauma dicabul rakan sekerja

 

AMPANG: Seorang lelaki warga asing dicekup pihak polis dipercayai mencabul rakan sekerja, wanita tempatan di Jalan Taman Permata di sini, semalam.

Mangsa yang juga pembantu jualan, mendakwa dicabul suspek di sebuah pasar raya di Taman Permata di sini, Khamis lalu.

Wanita berusia 32 tahun itu dipeluk, dicium dan diraba lelaki warga asing yang berusia 27 tahun sebelum tampil membuat laporan polis.

Ketua Polis Daerah Ampang Jaya, Asisten Komisioner Mohd Azam Ismail berkata, pihaknya menerima laporan pada jam 4.45 petang hari kejadian.

“Mangsa mendakwa selepas habis waktu bekerja di bahagian stor simpanan, suspek bertanyakan mengenai berat badannya. Suspek kemudian bertindak memeluk dan mengangkat mangsa dari arah belakang.

“Mangsa turut dicium pada bahagian pipi dan badannya diraba suspek. Suspek juga cuba mencium mulut mangsa,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Bertindak atas laporan, Mohd Azam berkata, sepasukan polis menjalankan siasatan dan berjaya menahan suspek di Jalan Taman Permata pada jam 2.30 petang semalam.

Katanya, suspek direman selama empat hari bermula hari ini sehingga Selasa.

Beliau berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 354 Kanun Keseksaan kerana mencabul kehormatan.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini