Tumpuan :
Nasional

Pembantu penguasa kastam mengaku tidak bersalah terima suapan daripada warga Bangladesh

Kufariz Iskandar Zulkifli mengaku tidak bersalah atas pertuduhan menerima wang berjumlah RM900 daripada sembilan warga Bangladeshdi di Mahkamah Sesyen Sepang. – FOTO: NSTP

Oleh: Syafiqah Damanhuri

SEPANG: Seorang Pembantu Penguasa Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini atas pertuduhan menerima wang berjumlah RM900 daripada sembilan warga Bangladesh untuk pelepasan ubat-ubatan milik mereka.

Tertuduh, Kufariz Iskandar Zulkifli, 30, membuat pengakuan selepas pertuduhan dibacakan dibacakan di hadapan Hakim Ahmad Fuad Othman.

Mengikut pertuduhan, Kufariz Iskandar pada 14 November 2023, lebih kurang jam 1.30 petang di Cawangan Pemeriksaan Penumpang di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) Terminal 1, telah menerima ganjaran sebanyak RM900 daripada sembilan orang penumpang warganegara Bangladesh untuk pelepasan ubat-ubatan milik penumpang tersebut sewaktu pemeriksaan bagasi di situ.

Untuk itu, tertuduh didakwa melakukan kesalahan di bawah Seksyen 137(1)(b) Akta Kastam 1967 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 137(1) Akta yang sama.

Hakim Ahmad Fuad Othman membenarkan tertuduh diikat jamin RM7,000 dengan seorang penjamin dan syarat tambahan passport diserahkan kepada mahkamah.

Jika didapati bersalah, tertuduh boleh dihukum penjara tidak melebihi lima tahun atau denda tidak melebihi RM500,000 atau kedua-duanya, dan ditahan daripada memegang jawatan dalam perkhidmatan awam Kerajaan Persekutuan atau Kerajaan mana-mana Negeri.

Timbalan Pendakwa Raya Nurul Akhilah Rosmi mencadangkan jaminan berjumlah RM10,000 serta syarat tambahan tertuduh menyerahkan pasport kepada mahkamah sehingga kes selesai.

Kufariz Iskandar yang tidak diwakili peguam memohon jaminan lebih rendah kerana perlu menanggung anak yang masih kecil, adik-beradik lain dan ibu yang tidak bekerja.

Mahkamah membenarkan jaminan RM7,000 dan syarat tambahan yang dikemukakan pihak pendakwaan.

Tarikh sebutan semula kes ditetapkan pada 16 Disember ini dan tertuduh dinasihat agar melantik peguam.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini