Tumpuan :
Nasional

Pembantu stor maut motosikal dirempuh ketika tunggu lampu isyarat

Foto hiasan

SUBANG JAYA: Seorang pembantu stor maut selepas motosikal ditungganginya dirempuh sebuah Perodua Axia ketika mangsa sedang berhenti di persimpangan lampu isyarat di Persiaran Putra Perdana, di sini kelmarin.

Ketua Polis Daerah Subang Jaya, Asisten Komisioner Wan Azlan Wan Mamat, berkata setibanya di lokasi kejadian kira-kira 5.20 petang mangsa yang menaiki motosikal jenis Yamaha LC135 berhenti di persimpangan lampu isyarat untuk ke kanan.

“Siasatan awal mendapati mangsa seorang lelaki tempatan berusia 37 tahun datang dari arah Subang Jaya ke arah Putra Height dilanggar dari belakang oleh sebuah kereta jenis Perodua Axia.

“Mangsa disahkan meninggal dunia oleh pegawai perubatan di lokasi kejadian manakala pemandu kereta tidak mengalami kecederaan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Terdahulu tular di media sosial satu klip video rakaman kamera papan pemuka berdurasi 27 saat memaparkan mangsa terpelanting dan jatuh ke atas jalan raya akibat dirempuh oleh sebuah kereta berwarna hitam.

Sejurus terjatuh mangsa dilihat tidak bergerak tengah-tengah persimpangan lampu isyarat berkenaan manakala motosikal mangsa tercampak tidak jauh dari tubuh lelaki itu.

Menurutnya, pemandu kereta merupakan seorang lelaki tempatan berusia 27 tahun yang bekerja sebagai pereka dalaman direman satu hari bermula semalam dan sudah dibebaskan dengan jaminan polis.

Katanya, siasatan lanjut sedang dijalankan mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ)1987 bagi mengenal pasti punca sebenar kejadian.

“Sebarang maklumat berkaitan boleh disalurkan kepada Pegawai Penyiasat Trafik, Inspektor Fatin Husna Khairuzzaman di talian 0173012621.

“Orang ramai juga boleh menghubungi atau tampil ke mana-mana balai berhampiran jika mempunyai maklumat berkaitan,” katanya.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini