comscore
Tumpuan :
Nasional

Pembebasan Sirul, Australia dijangka tidak beri kerjasama – Ketua Polis Negara

Oleh Hamdi Fahmi Mohamad Zaki

KUALA LUMPUR: Australia dijangka tidak akan bekerjasama dengan Malaysia dalam urusan mengekstradisi Sirul Azhar Umar, yang sebelum ini disabitkan hukuman gantung mandatori atas kesalahan membunuh wanita warga Mongolia, Altantuya Shaariibuu.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain menjangkakan pihak berkuasa negara itu tidak akan memberi kerjasama kepada Malaysia sekiranya hukuman ke atas Sirul Azhar masih lagi berkuat kuasa selepas hukuman itu dijatuhkan oleh Mahkamah Persekutuan.

“Kita perlu melihat daripada ‘dual criminality’ maksudnya kesalahan yang berlaku di Malaysia dan kesalahan itu juga ada di Australia dan hukumannya mesti sama, kalau di sana dia dihukum penjara seumur hidup, di negara kita juga penjara sepanjang hayat.

Tetapi dalam kes Sirul Azhar ini masalahnya adalah hukuman gantung di sana (Australia) tiada, tetapi kita di sini (Malaysia) ada hukuman gantung.”

Beliau berkata demikian  selepas Majlis Serah Terima Tugas Pengarah dam Pengerusi PERKEP Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) di Bukit Aman hari ini

Tambahnya  beliau percaya Peguam Negara akan mengadakan perbincangan dengan rakan sejawatnya di Australia dalam proses membawa pulang Sirul Azhar.

Sirul meninggalkan Malaysia pada Oktober 2014 ketika kes itu masih lagi dalam rayuan dan tidak pulang ketika hukuman dijatuhkan oleh Mahkamah Persekutuan.

Dia kemudian ditahan oleh pihak berkuasa Austalia dan dasar negara itu adalah tidak menghantar pulang individu yang berdepan dengan hukuman mati di negara asal.

Sebelum ini Sirul Azhar dibebaskan selepas sembilan tahun berada dalam tahanan pihak imigresen Austalia sejak 2015.

Pembebasannya adalah susulan keputusan Mahkamah Tinggi negara itu pada 8 November lalu yang memutuskan bahawa tahanan bukan warga negara yang tidak dapat dihantar pulang tidak boleh lagi ditahan selama-lamanya oleh pihak imigresen.

| ARTIKEL BERKAITAN

Loading...
Terkini