comscore
Tumpuan :
Nasional

Pembentung alir air berbuih dikesan

 

Foto: Lembaga Urus Air Selangor / Facebook

SHAH ALAM: Susulan insiden buih berbau diesel di Sungai Gombak kelmarin, Lembaga Urus Air Selangor (LUAS) dan Pengurusan Air Selangor Sdn Bhd (Air Selangor) menemui pembentung yang mengalirkan aliran itu.

Siasatan yang bermula jam 10 pagi hingga 8 malam semalam  mendapati pembentung itu mengalirkan air berbuih ke anak Sungai Gombak, berdekatan dengan tapak sebuah projek pembangunan yang disyaki punca kejadian.

Pada masa sama, semakan di tapak mendapati terdapat kesan buih di longkang premis dipercayai hasil aktiviti pembersihan mendapan konkrit, termasuk anak sungai di kawasan berhampiran.

 

LUAS berkata, pensampelan ‘in situ” kualiti air yang dilakukan di pembentung menunjukkan bacaan ‘dissolved oxygen’ (DO) dan keadaan pH yang baik.

“Punca dan saliran juga tidak dapat dipastikan kerana ia adalah pembentung yang dipasang di bawah tanah.

“Pada masa sama, semakan lanjut kedua-dua agensi ke bahagian hilir Sungai Gombak dan kawasan terbabit mendapati keadaan sungai baik dan normal,” katanya menerusi hantaran di Facebook.

Susulan itu, LUAS berkata, pihaknya sudah melakukan pensampelan di semua lokasi berkaitan dan dihantar ke Jabatan Kimia Malaysia (JKM) untuk analisis lanjut.

Pada masa sama, tindakan lanjut diambil dengan kertas siasatan dibuka mengikut Enakmen LUAS 1999.

“LUAS turut berkomunikasi dengan Jabatan Alam Sekitar (JAS) bagi tindakan penguatkuasaan berdasarkan bidang kuasa agensi, selain melaksanakan pemantauan lanjut berkala.

“Untuk itu, LUAS merakamkan penghargaan kepada Air Selangor dan pihak yang terbabit di atas kerjasama dalam operasi ini,” katanya.

Terdahulu, media melaporkan hasil semakan menemui aktiviti pencucian jentera di mana aliran cucian masuk ke longkang premis dan seterusnya kolam rawatan dan sungai berhampiran.

Pada masa sama, LUAS mengesan semula aliran berbuih di Loji Rawatan Air (LRA) Gombak yang kemudian melakukan pensampelan bagi mengenal pasti kandungannya.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini