Oleh: Hamdi Fahmi Mohamad Zaki
KUALA LUMPUR: Pemberhentian pekerja TikTok di negara ini tidak memberikan kesan negatif kepada pengoperasian aplikasi terbabit di Malaysia.
Menteri Komunikasi Fahmi Fadzil berkata jumlah pekerja mereka di negara ini masih tinggi.
“Saya juga telah mengadakan perbincangan dengan pihak TikTok Malaysia semalam dan mereka memaklumkan bahawa di Malaysia jumlah tenaga kerja mereka sekitar 3700 orang.”
Beliau berkata demikian selepas menghadiri Program Kesihatan Lembah Pantai di sini hari ini.
Katanya jumlah sebenar pekerja yang diberhentikan adalah 481 orang dan bukannya 700 orang seperti didakwa.
Ujar Fahmi,beliau juga dimaklumkan syarikat pengendali aplikasi terbabit turut membuka beberapa jawatan baharu untuk beberapa perkhidmatan.
“Beberapa perkhidmatan baharu yang akan mereka sediakan termasuk perkhidmatan perkomputeran awan (cloud computing) dan juga data center, jadi mereka akan meningkatkan jumlah pekerja mereka.”
Menurutnya kerjasama TikTok bersama Suruhanjaya Komunikasi Dan Multimedia MCMC serta Polis masih diteruskan bagi memantau kandungan yang dihasilkan.
Media sebelum ini melaporkan Platform media sosial TikTok memberhentikan ratusan pekerja daripada tenaga kerja globalnya, termasuk sebilangan besar kakitangan di Malaysia.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.